LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

PROGRAM BACAAN YAASIN~DOA UNTUK MALAYSIA 
DALAM RANCANGAN TELEVISYEN TERBITAN JAKIM

Bil. 20/2021

1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ingin mengajak seluruh umat Islam untuk bersama-sama membaca Yaasin dan doa demi kesejahteraan negara menerusi rancangan terbitan JAKIM di saluran TV1 RTM iaitu Salam Pagi dan Forum Perdana Ehwal Islam pada 3 Jun 2021 (Khamis).

2. Rancangan Salam Pagi akan bersiaran di TV1 pada jam 7.10 pagi hingga 8.00 pagi, dimulakan dengan bacaan Yaasin diketuai Ustaz Haji Amirahman bin Abas, Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa. Ustaz Haji Zul Ramli M. Razali akan bertindak sebagai Ahli Panel yang akan mengupas ayat-ayat dalam Surah Yaasin. Manakala moderator rancangan ini ialah Saudara Jalal Zaiki.

3. Manakala rancangan Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk "Takut Allah atau Takut COVID19?" pula akan bersiaran secara langsung pada jam 9.00 malam pada tarikh sama dimulai dengan bacaan Yaasin yang akan dipimpin oleh Tuan Haji Ustaz Tirmizi Ali, Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa. Ustaz Haji Ahmad Shukri Yusoff dan Ustaz Mohd Hariri Mohamad Daud akan bertindak sebagai moderator manakala YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) selaku Ahli Panel.

4. Program khas ini bertujuan untuk mengajak seluruh lapisan umat Islam melazimi bacaan ayat-ayat suci al-Quran al-Karim di samping doa dan munajat dalam tempoh negara berhadapan dengan saat getir musibah pada ketika ini. Semoga usaha ini akan mendapat rahmat daripada Allah SWT serta dikurniakan kesejahteraan buat negara khususnya dalam keadaan wabak COVID-19 yang sedang melanda.

5. JAKIM berbesar hati menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menonton dan menyertai kedua-dua program yang bermanfaat ini.

6. Sehubungan itu, dimohon jasa baik rakan-rakan media untuk membuat hebahan berkaitan program ini.

Sekian, terima kasih.

“PRIHATIN RAKYAT : DARURAT MEMERANGI COVID-19”
BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

Saya yang menjalankan amanah,

(HAJI ZAKARIA BIN OTHMAN)
Ketua
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
2 Jun 2021