LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA


BERKENAAN

MAJLIS PENYERAHAN SUMBANGAN KEAMANAN PALESTIN DARIPADA UMAT ISLAM SARAWAK

Bil. 24/2021

  1. Majlis Penyerahan Sumbangan Keamanan Palestin Daripada Umat Islam Sarawak pada hari ini, adalah kerjasama di antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Sarawak, Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak dan JAKIM Sarawak.

  2. Majlis ini adalah salah satu usaha dan inisiatif Kerajaan untuk membantu warga Palestin yang berada di negara kita, malah semua pihak juga dialu-alukan bersama-sama membantu saudara kita di Palestin yang sedang berjuang mempertahankan tanah air (Bumi Al-Quds) dan Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis.

  3. Sebagaimana kita maklum, kita telah dikejutkan dengan tragedi pencerobohan dan serangan daripada pihak zionis Israel pada akhir Ramadhan yang lalu, yang telah mengorbankan ratusan nyawa penduduk awam Palestin termasuk kerosakan harta benda, tempat tinggal dan sebagainya. Maka adalah menjadi tanggungjawab bersama, kita berusaha untuk membantu sekadar yang termampu, di samping menzahirkan kebersamaan dan solidariti kita ke atas umat Islam Palestin.

  4. Selain daripada bantuan yang telah disalurkan kepada beberapa Badan-badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) sebelum ini bagi tujuan yang sama, maka Sumbangan Keamanan Palestin daripada umat Islam Sarawak berjumlah RM 1 juta yang diterima pada hari ini juga, akan disalurkan kepada warga Palestin yang menghadapi kesempitan hidup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini, kerana mereka juga turut terjejas, tidak dapat keluar bekerja dan terputus sumber rezeki.

  5. Untuk makluman bersama, Sumbangan Keamanan Palestin daripada Umat Islam Sarawak berjumlah RM1 juta ini adalah hasil usaha dari kutipan Masjid-masjid dan Surau-surau di seluruh Negeri Sarawak termasuk sejumlah besar sumbangan oleh :

    1. Lembaga Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) : RM942,653.00

    2. Kutipan Sadaq Jumaat : RM41,667.10

    3. Majlis Islam Sarawak (MIS) : RM15,679.90

  6. Sumbangan Dana RM1 juta ini telah disampaikan oleh YB Datuk Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Junaidi, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU), Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Sarawak kepada YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

  7. Semoga hubungan kerjasama erat ini, dapat diteruskan lagi pada masa-masa yang akan datang, demi kesejahteraan ummah dan mendapat keredhaan Allah SWT. Mudah-mudahan sokongan kita terhadap Palestin berterusan, dan kepada mereka yang telah menyumbang, semoga Allah SWT meluaskan dan melipat gandakan rezeki sebaik-baik ganjaran kepada mereka dan dapat dicontohi sebagai amal solah dan jariah yang berpanjangan.

  
 
DATUK ABDUL AZIZ BIN JUSOH
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
8 Julai 2021