LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA

BERKENAAN

MAJLIS SAMBUTAN MA’AL HIJRAH PERINGKAT KEBANGSAAN 1443H/2021M

Bil.27/2021

  1. Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1443H/2021M akan diadakan secara hybrid pada 9 Ogos 2021M (Isnin) bermula jam 6.00 petang di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), Putrajaya sepertimana kelulusan Sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertarikh 3 Ogos 2021.

  2. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah perkenan untuk meyampaikan titah perutusan khas secara hybrid. YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri dan YAB Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Pertahanan akan hadir sama bagi menyemarakkan lagi majlis sambutan pada tahun ini.

  3. Majlis ini diadakan secara sederhana namun penuh bermakna dengan pematuhan SOP yang ketat dan kehadiran yang minima. Penganjuran majlis ini dilihat penting dalam suasana negara sedang menghadapi pandemik Covid-19 bertujuan mengajak masyarakat sama-sama berdoa memohon perlindungan dari bahaya Covid-19 khususnya, serta sentiasa bersabar dan berpegang teguh pada agama walau dalam apa jua keadaan.

  4. Tema Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan pada tahun ini ialah “Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti” adalah signifikan kepada ummah di negara ini. Tema ini bagaikan suatu motivasi kepada ummah untuk meletakkan nilai “Rabbani” iaitu menjadikan Allah SWT segala-galanya dalam mendepani apa jua keadaan dan situasi getir dan sukar.

  5. Sempena majlis ini juga, seperti biasa akan diadakan Majlis Penganugerahan Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan yang akan disempurnakan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kepada seorang tokoh dalam negara dan seorang tokoh dari luar negara yang banyak jasa dan sumbangan kepada ummah.

  6. Seluruh masyarakat dijemput mengikuti acara ini secara langsung menerusi saluran TV1 dan disambung siar oleh TV Al-Hijrah serta media sosial rasmi JAKIM. Selain itu, radio Nasional FM, Radio IKIM, Ai FM (Mandarin), Traxx FM (Bahasa Inggeris), Minnal FM (Tamil) dan Asyik FM (Radio Orang Asli) turut membuat lintas langsung acara ini.

  7. Sehubungan itu, dimohon jasa baik rakan-rakan media untuk membuat hebahan berkaitan program ini.


Sekian

DATUK ABDUL AZIZ BIN JUSOH
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
7 Ogos 2021