LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

PENDEKATAN KERAJAAN TERHADAP OPERASI INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM
DI BAWAH LEPAI SEPANJANG TEMPOH PANDEMIK COVID-19

Bil.33/2021

 
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ingin merujuk kenyataan segelintir pihak yang membuat dakwaan bahawa kerajaan meminggirkan institusi Pendidikan Islam khususnya pondok, tahfiz dan sekolah agama yang berada di bawah penyelarasan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pendidikan dan Pelajaran Agama Islam (LEPAI) sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

Sejak awal penularan pandemik COVID-19 melanda negara sekitar awal tahun 2020, pihak kerajaan melalui JAKIM telah berkerjasama dengan pihak-pihak berwajib yang lain seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berusaha mencari jalan untuk memasti dan menjaga keselamatan warga institusi pendidikan Islam di bawah LEPAI terjamin melalui pelbagai pendekatan. Antaranya kerajaan telah mengambil langkah segera melaksanakan saringan bagi mengesan dan menyekat penularan COVID-19 dalam kalangan warga institusi tersebut. Kerajaan juga mengambil tanggungjawab menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memudahkan rujukan dan panduan oleh institusi yang dijangkati COVID-19.
 
Susulan peningkatan kes COVID-19 yang semakin ketara dan membimbangkan, pihak kerajaan telah mengambil langkah drastik yang perlu dan utama demi menyelamatkan nyawa warga institusi Pendidikan Islam. Dalam pada masa yang sama, kerajaan juga menyedari pentingnya pendidikan kepada murid dan pelajar di institusi tersebut dapat diteruskan. Justeru, dengan bantuan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), JAKIM telah menerbitkan Garis Panduan Pengurusan Pengoperasian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain dan Sekolah Agama Dalam Norma Baharu sebagai rujukan kepada institusi Pendidikan Islam untuk beroperasi. Namun tidak dinafikan, terdapat beberapa institusi Pendidikan Islam yang menghadapi kesulitan untuk meneruskan operasinya atas pelbagai sebab antaranya ialah kekangan kos pengurusan.

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tidak pernah mengambil pendekatan lepas tangan atau meminggirkan institusi berkenaan. Sebagai contoh, bagi tahun 2021 ini kerajaan persekutuan melalui JAKIM telah menyalurkan bantuan berjumlah RM60 juta kepada 1,066 buah institusi ini sehingga Ogos 2021. Selain itu, sebanyak RM244,400.00 telah disumbangan melalui Tabung Musaadah COVID-19 JAKIM-YWM. JAKIM juga pada ketika ini sedang berusaha dengan pelbagai cara bagi membantu institusi Pendidikan Islam agar dapat melangsungkan operasinya demi anak bangsa.

JAKIM menaruh harapan dan keyakinan tinggi bahawa kerajaan pada masa kini akan memberi perhatian sewajarnya terhadap semua pihak dan tidak mungkin akan meminggirkan mana-mana pihak selaras dengan slogan “Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera.” Dalam pada itu, JAKIM amat mengharapkan sokongan dan dokongan dari semua pihak khususnya warga institusi Pendidikan Islam untuk sentiasa berdoa agar usaha JAKIM dipermudahkan.
 
Sekian.
 
DATUK ABDUL AZIZ BIN JUSOH
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
05 Oktober 2021