LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA

BERKENAAN

PELAKSANAAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL PERINGKAT KEBANGSAAN
TAHUN 1443H BERSAMAAN 2021M


Bil.38/2021

  1. Sukacita dimaklumkan, bahawa JAKIM akan menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1443H Bersamaan 2021M. Sambutan Maulidur Rasul SAW adalah merupakan salah satu acara rasmi Kerajaan yang disambut setiap tahun sama ada di peringkat Persekutuan dan Negeri sesuai dengan status Islam sebagai Agama Persekutuan Malaysia. Sambutan bukan sekadar untuk memperingati hari ulang tahun kelahiran Baginda SAW, malah ia menjadi wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat meladeni susur kehidupan, perjuangan dan sunnah Baginda SAW.

  2. Mengambilkira situasi negara masih berada dalam fasa pandemik Covid-19, maka Jawatankuasa Induk Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1443H bersamaan 2021M telah bersetuju dan membuat ketetapan agar sambutan tersebut diterjemah menerusi program Citra Cinta Rasul, iaitu sebuah program bicarawara agama dengan highlight utama, Titah Khas Duli Yang Maha Mulia Timbalan Yang Di-Pertuan Agong dan Pengumuman Penerima Anugerah Perdana dan Anugerah Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1443 H bersamaan 2021.

  3. Program Citra Cinta Rasul ini akan disiarkan secara langsung di TV1 dan Nasional FM pada 18 Oktober 2021 dari jam 9.00 malam hingga 10.30 malam. Minnal FM, Ai FM, Asyik FM dan TraXX FM akan turut mengadakan lintas langsung, antara 9.00 hingga 10.30 malam.

  4. Program ini akan disertai oleh panel-panel hebat iaitu :-

    1. YBrs. Dr Ann Wann Seng Setiausaha Agung Jamiyah Selangor dan Wilayah Persekutuan, Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM dan Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA). Beliau juga adalah penerima Anugerah Saudara Muslim Cemerlang 2008 anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

    2. Ustazah Isfadiah binti Mohd Dasuki, graduan dan mantan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Sering menjadi tetamu jemputan di radio dan televisyen terutamanya dalam topik keibubapaan dan fiqh wanita, personaliti dakwah yang tidak asing lagi di negara ini.

  5. Program ini akan dihoskan oleh Ustaz Nabil bin Ahmad dan Saudara Terrence Dass bersama Heliza Helmi. Artis-artis undangan yang akan turut memeriahkan program adalah Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Kumpulan UNIC dan Faizal Tahir.

  6. Penonton juga akan dapat mengikuti Video Khas Ibrah bertajuk ‘Sollu’ terbitan TV Alhijrah (agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri) yang akan disiarkan menerusi rancangan tersebut. Konsep atau jalan cerita adalah menggabungkan mesej Keluarga Malaysia dan Prinsip Maqasid Syariah dalam membentuk sebuah masyarakat sejahtera, aman dan damai, tanpa sempadan agama dan bangsa.


Pengurniaan Anugerah Maulidur Rasul Dan Kriteria Penganugerahan

  1. Sambutan pada kali ini juga akan memartabatkan seorang penerima Anugerah Perdana dan 6 orang penerima Anugerah Maulidur Rasul. Ia bertujuan untuk memberi pengiktirafan kepada tokoh-tokoh yang berkelayakan dalam memberi sumbangan kepada ummah dan negara. Penerima anugerah diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Maulidur Rasul yang dipengerusikan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

  2. Kriteria pencalonan dan pemilihan adalah seperti berikut :-

    1. Pencalonan terbuka kepada Warganegara Malaysia.

    2. Pencalonan terbuka kepada kakitangan agensi kerajaan/ badan berkanun/ swasta/ badan bukan kerajaan (NGO) dan individu.

    3. Calon memiliki pengetahuan yang luas dan mendalam dalam pelbagai disiplin ilmu yang diceburi dan telah dimanfaatkan ke arah pembangunan ummah dan negara.

    4. Calon mempunyai akhlak dan keperibadian unggul serta boleh dijadikan teladan dan ikutan dalam masyarakat.

    5. Calon telah memberi sumbangan yang cemerlang dalam pembangunan ummah dan negara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

    6. Calon mempunyai ketokohan dan kewibawaan serta mendapat pengiktirafan dalam dan luar negara.

  3. Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah telah mengampuni perkenan untuk berangkat ke Majlis Pengurniaan Anugerah Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1443 H bersamaan 2021 yang akan diadakan pada 20 Oktober 2021 di Istana Negara, secara tertutup, dengan pematuhan SOP sepenuhnya.


Acara-Acara Menarik Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1443H Bersamaan 2021M.

  1. Sebagai sebahagian dari program Sambutan Maulidur pada kali ini, sebuah Forum Perdana Ehwal Islam Khas akan turut di adakan pada 21 Oktober 2021, 9.00 hingga 10.30 malam di TV1. Dibarisi panel-panel mantap seperti YB Senator Tuan Haji Idris bin Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan YBhg. Prof Datuk Dr. Syamrahayu Ab.Aziz, Penyandang Kursi-Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM dengan tajuk Satukan Cinta. Mereka akan membincangkan isu-isu semasa yang dekat di hati rakyat dan orang-orang Islam masa kini di samping memberikan pencerahan dan pengisian sempena Sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini.

  2. Selain itu penonton-penonton boleh menyaksikan program-program yang disusun khas untuk Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1443 H bersamaan 2021M ini

    • Tajdid Ummah- 22/10 (Rasulullah Qudwah Terindah)

    • Sinaran Rohani- 15/10 (Teladani Akhlak Rasulullah)

    • Anda Musykil - 14/10 (Cinta Allah, Cintai Rasul)


AMANAT DAN HARAPAN JAKIM

  1. JAKIM menyeru semua pihak agar dapat bersama-sama memeriahkan program yang akan diadakan secara maya di TV1 pada kali ini. Mari kita buktikan bahawa norma baharu, penjarakan fizikal mahupun SOP tidak akan berjaya memadamkan kecintaan dan kerinduan kita kepada Rasulullah SAW bahkan menjadikan kita lebih kreatif dalam menzahirkankan kasih sayang kita kepada beliau. Kita berdoa agar Allah menjadikan ummat Islam di Malaysia lebih tabah dan bersemangat menghadapi cabaran mendatang. Semoga komitmen dan usaha ini dapat menjadi pemangkin mengimarah dan melebarkan risalah Islam di bumi tercinta ini.

  2. Sehubungan itu, dimohon jasa baik rakan-rakan media untuk membuat hebahan berkaitan program ini.


Sekian

DATUK ABDUL AZIZ BIN JUSOH
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
18 Oktober 2021