LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA

BERKENAAN

ISU BABAK ROMANTIK DUA LELAKI DALAM DRAMA

Bil. 42/2021

Merujuk laporan sebuah akhbar tempatan pada Isnin 6 Disember 2021 yang memetik kenyataan YB Senator Tuan Haji Idris bin Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang memaklumkan bahawa JAKIM akan merujuk isu seorang pelakon lelaki yang melakonkan babak romantik bersama pelakon lelaki lain dalam sebuah siri drama kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Sehubungan itu pada hari ini 7 Disember 2021 pihak JAKIM telah merujuk perkara ini kepada SKMM bagi memohon pihak berautoriti berkenaan mempertimbangkan agar siasatan lanjut dapat dijalankan mengikut lunas undang-undang sedia ada.

JAKIM amat memandang serius isu seperti ini dan sebarang isu lain yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat keluarga Malaysia khususnya umat Islam. JAKIM amat berharap kepada pihak-pihak terbabit agar sensitif dengan nilai dan budaya masyarakat di negara ini dan tidak bertindak di luar batas dan nilai ketimuran yang sejak sekian lama dibudayakan dengan aman dan harmoni. Dalam pada itu, JAKIM juga menasihatkan agar masyarakat di luar sana dapat bertenang dan menyerahkan isu ini kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut.

Sekian.

Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
7 Disember 2021