LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

SOLAT HAJAT BERIKUTAN SITUASI MUSIBAH BANJIR

Bil.43/2021
  1. Berikutan situasi banjir yang melanda di beberapa buah negeri, Yang Berhormat Senator Tuan Haji Idris bin Haji Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk mengadakan Solat Hajat khusus bagi mendoakan situasi buruk bencana yang melanda beberapa buah negeri pada ketika ini. Solat Hajat akan diadakan selepas Solat Maghrib pada malam ini melalui tiga buah masjid utama iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

  2. JAKIM juga turut memohon kerjasama dan jasa baik Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri seluruh Malaysia untuk turut sama mengadakan Solat Hajat di masjid dan surau di seluruh negara bagi tujuan yang sama.

  3. Dalam pada itu juga, Yang Berhormat Senator Tuan Haji Idris bin Haji Ahmad turut meminta JAKIM supaya masjid-masjid utama terus cakna dengan mangsa banjir dan sentiasa bersedia untuk dijadikan pusat penempatan mangsa banjir sekiranya diperlukan oleh pihak berkuasa.

  4. JAKIM menzahirkan rasa simpati dan sentiasa mendoakan kepada semua mangsa banjir dan turut menyeru seluruh lapisan masyarakat Keluarga Malaysia untuk sama-sama menzahirkan keprihatinan terhadap mereka yang terjejas akibat banjir.

 
Sekian.

HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD YUSOFF
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar)
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
19 Disember 2021