LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

LAPORAN AKHBAR TEMPATAN 14 APRIL 2022
BERTAJUK
RUMAH SEMBELIH DI AUSTRALIA BEKAL 45% DAGING KE MALAYSIA TIDAK IKUT SYARIAT ISLAM – STATUS HALAL MERAGUKAN

Bil. 6/2022

  1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ingin merujuk laporan sebuah akhbar tempatan pada Khamis 14 April 2022 bertajuk “Rumah Sembelih di Australia Bekal 45% Daging ke Malaysia Tidak Ikut Syariat Islam – Status Halal Meragukan”. Laporan tersebut memetik pendedahan yang dibuat oleh Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (PERKEMAS), Encik Faizan Mohd. Nor.
  2. Untuk makluman, isu ini bermula dengan dakwaan yang dibuat oleh seorang penulis di internet pada 1 April 2022 yang mendedahkan mengenai ketidakupayaan sebuah badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM di Australia iaitu Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australian Inc. (SICHMA) bertajuk “JAKIM Still Turning a Blind-eye to Halal Integrity Issues”.

  3. Susulan pendedahan tersebut, pihak JAKIM telah meminta penjelasan dari pihak SICHMA pada 12 April 2022 dan telah mendapat maklumbalas segera daripada SICHMA pada hari yang sama. JAKIM juga telah dimaklumkan oleh Pegawai Atase Halal JAKIM di Canberra, yang menjalankan audit berkala ke atas Thomas Foods Industries pada 2 Mac 2022 dan mendapati penyembelihan halal yang dilakukan di Thomas Foods Industries adalah mematuhi keperluan standard penyembelihan halal Malaysia dan peraturan ke atas haiwan (animal walfare) yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa Australia.

  4. Pihak SICHMA juga telah membuat kenyataan akhbar pada 12 April 2022 memberi penjelasan serta menafikan dakwaan ketidakupayaan organisasi tersebut dalam membuat pengesahan halal ke atas rumah sembelihan di bawah seliaan mereka. SICHMA memaklumkan bahawa mereka telah membuat pengauditan berkala ke atas Thomas Foods International.

  5. Pihak berkuasa Australia iaitu Department of Agriculture, Water and the Environment (DAWE) juga telah memberi maklumbalas segera dalam isu ini dengan menegaskan bahawa mereka memandang dakwaan ini sebagai sesuatu yang serius dan telah memulakan siasatan. DAWE menegaskan bahawa Australia mempunyai peraturan ketat yang mengawal keseluruhan proses penyediaan daging halal untuk eksport dan hanya produk daging yang telah memenuhi peraturan dan keperluan eksport Australia serta mematuhi keperluan negara pengimport sahaja yang akan dibenarkan untuk dieksport.

  6. Prosedur pengiktirafan pengeksportan daging ke Malaysia seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Malaysia, adalah termasuk aspek kebajikan haiwan sembelihan (animal welfare) dan aspek yang sama juga adalah menjadi keutamaan bagi pihak berkuasa di Australia. Malaysia mempunyai polisi mengenai kebajikan haiwan dan diperkukuhkan lagi dengan keperluan halal yang ditetapkan oleh JAKIM.

  7. Oleh yang demikian, JAKIM akan segera memanggil pihak PERKEMAS dan dalam masa yang sama akan mendapatkan maklumat lanjut dari pihak berkuasa di Australia bagi membantu menangani isu ini.


Sekian.

DATUK HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD YUSOFF
Ketua Pengarah
14 April 2022