LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA BERSAMA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
DAN
JABATAN PERKHIDMATAN VETERINAR MALAYSIA (JPV)

BERKENAAN

DAKWAAN PELANGGARAN PROSEDUR PENYEMBELIHAN HALAL OLEH SEBUAH SYARIKAT DI AUSTRALIA

Bil. 11/2022

  1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memberi perhatian serius berkenaan dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal oleh sebuah loji sembelihan di Australia yang telah mendapat kelulusan untuk mengeksport daging halal ke Malaysia.

  2. JAKIM dan JPV ingin menegaskan bahawa prosedur pengiktirafan loji pemprosesan luar negara oleh Kerajaan Malaysia adalah melalui satu prosedur yang ketat dan terperinci. Hal ini kerana proses pengiktirafan loji sembelihan dan loji pemprosesan luar negara dijalankan pengauditan secara sistematik oleh pegawai-pegawai terlatih JPV dan JAKIM. Proses pengauditan ke atas loji sembelihan yang dilaksanakan adalah secara berjadual menggunakan piawaian yang telah ditetapkan untuk kualiti dan keselamatan produk berdasarkan SOP di dalam Standard Malaysia untuk Good Manufacturing Practices (GMP) MS 1514:2009, Standard Malaysia untuk Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) MS 1480:2018 termasuk juga Arahan Prosedur Tetap Veterinar Malaysia (APTVM)23(h):1/2014 (Pengauditan Loji Sembelihan dan Loji Pemprosesan). Manakala bagi aspek pematuhan halal mengguna pakai Malaysia Standard Halal Food – Production, Preparation, Handling and Storage – General Guidelines (MS1500:2009) dan Malaysian Protocol for The Halal Meat and Poultry Production.

  3. Proses kelulusan pula perlu melalui sebanyak empat (4) kali pembentangan dan penilaian sebelum keputusan diberikan. Pembentangan dan penilaian di peringkat JAKIM adalah melibatkan Jawatankuasa Penilaian Pengiktirafan Halal Luar Negara dan Jawatankuasa Pengesahan Pengiktirafan Halal Luar Negara (JPPHLN). Manakala pembentangan dan penilaian seterusnya adalah di peringkat JPV dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) iaitu Jawatankuasa Teknikal Pengiktirafan Abatoir & Loji Pemprosesan Luar Negara (JTPALLN) dan Mesyuarat Jawatankuasa Kawalan Import dan Eksport Keluaran Pertanian (JKEIP) peringkat MAFI. Selepas kelulusan diperolehi, pemantauan loji sembelihan dibuat oleh JPV, JAKIM dan badan persijilan halal yang diiktiraf oleh JAKIM bagi memastikan standard dan prosedur Malaysia dipatuhi.

  4. Mengenai kes dakwaan pelanggaran prosedur penyembelihan halal oleh sebuah loji sembelihan di Australia yang telah mendapat kelulusan untuk mengeksport daging halal ke Malaysia, JAKIM telah menjalankan siasatan ke atas loji sembelihan berkenaan dan mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak berkuasa Australia. JAKIM juga telah mengatur pertemuan dengan Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat Malaysia (PEKEMAS) dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat lanjut.

  5. Terbaru, sidang khas antara JPV dan JAKIM dengan Department of Agriculture, Water and the Environment (DAWE), Australia telah diadakan pada 13 Mei 2022. Sidang berkenaan telah bersetuju membuat keputusan untuk menggantung kelulusan yang telah diberikan kepada loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal berkuatkuasa serta merta sehingga satu hasil siasatan yang menyeluruh diperolehi.

  6. Dalam masa yang sama, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc. (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan tersebut akan diberi surat tunjuk sebab dan berhadapan dengan kemungkinan untuk dibatalkan status sebagai badan pensijilan halal yang diiktiraf oleh JAKIM sekiranya didapati tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.

 
Sekian.

DATUK HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD YUSOFF
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
14 Mei 2022

DATUK DR. MOHD NORLIZAN BIN MOHD NOOR
Ketua Pengarah
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia
14 Mei 2022