LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

MAJLIS SAMBUTAN MA’AL HIJRAH
PERINGKAT KEBANGSAAN 1444 H / 2022 M

Bil. 14/2022

  1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengadakan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1444 H / 2022 M pada 29 Julai 2022 (Jumaat) bermula jam 6.55 petang di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

  2. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong As-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah perkenan untuk berangkat bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj ke majlis tersebut. YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri dan isteri turut hadir bersama bagi menyemarakkan lagi majlis sambutan pada tahun ini.


TEMA SAMBUTAN MA’AL HIJRAH

  1. Tema Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan pada tahun ini ialah “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran” adalah merupakan tema yang sangat signifikan kepada umat Islam di negara ini.

  2. Konsep ‘Keluarga Malaysia’ telah dianggap sebagai satu simbol kebersamaan yang inklusif dalam menghadapi krisis akibat pandemik COVID-19. ‘Keluarga Malaysia’ jelas menunjukkan kepentingan institusi keluarga dalam menghadapi situasi yang mencabar.

  3. Tiga teras utama yang digariskan iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran dijadikan sebagai nilai dalam konsep Keluarga Malaysia. Manakala antara pengkayaan nilai di bawah tiga teras ini adalah seperti berikut, Menyemai budaya integriti dalam keluarga; Menjadikan budaya amanah sebagai budaya keluarga; Menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pengukuhan keluarga dan menjadikan amalan bermusyawarah sebagai amalan keluarga.

  4. Bersandarkan konsep ‘Keluarga Malaysia’ ini, negara akan dipacu untuk keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi, seterusnya menjamin kesejahteraan setiap penduduk di negara bertuah ini. Usaha memulihkan negara ini akan tercapai dengan terus memupuk, menyemai dan mempertahankan ciri-ciri Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran yang kita miliki.

  5. Idea ini juga mengambil semangat institusi keluarga yang sentiasa berperanan memelihara agama, melindungi keselamatan, menjaga maruah dan memastikan nasib setiap ahli keluarga terbela. Konsep Keluarga Malaysia ini sangat sinonim dengan konsep kekeluargaan dalam Islam.

  6. Tiga rukun usrah yang seharusnya diterapkan dalam setiap keluarga di Malaysia boleh dijadikan panduan bagi melahirkan kemakmuran negara. Taaruf (saling mengenali), tafahum (saling memahami) dan takaful (saling membantu). Jika rukun usrah ini dipraktiskan oleh semua lapisan masyarakat merentasi ahli keluarga maka akan lahirlah sebuah negara yang berada di dalam rahmat Allah.

  7. Sempena Sambutan Ma’al Hijrah tahun ini Kerajaan telah memilih tema “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran” sebagai manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW. Masa depan kemakmuran sesebuah negara, sesungguhnya ditentukan oleh kehidupan yang bebas dari kemaksiatan dan kemungkaran.


PENGANUGERAHAN TOKOH MA’AL HIJRAH

  1. Pada tahun ini, Jawatankuasa Induk bersetuju menyampaikan Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan kepada seorang tokoh dan pemikir tersohor tanahair. Manakala seorang tokoh antarabangsa juga akan turut dianugerahkan pada tahun ini.

  2. Kriteria tokoh yang dipilih adalah berdasarkan kepada sumbangan besar dalam pembangunan ummah dan perkembangan syiar Islam selain mendapat pengiktirafan serta diterima oleh masyarakat dalam dan luar negara. Tokoh juga memiliki pengetahuan dan pengalaman yang luas serta mempunyai sifat dan peribadi yang unggul.


PENGISIAN AKTIVITI SEMPENA SAMBUTAN MA’AL HIJRAH

  1. Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1444 H / 2022 M ini dimulakan dengan Majlis Bacaan Yaasin Sempena Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2022.

  2. Seterusnya Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1444 H / 2022 M diteruskan dengan pembacaan doa akhir dan awal tahun yang dipimpin oleh Sahibul Fadhilah Tuan Haji Ehsan bin Mohd Hosni, Imam Besar Masjid Negara. Justeru, umat Islam disarankan agar sama-sama kita menadah tangan dan berdoa memohon perlindungan dan keselamatan negara kita yang tercinta ini.

  3. Kemuncak Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1444 H / 2022 M ini adalah penyampaian Titah Diraja oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan diikuti dengan Penyampaian Anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Dan Antarabangsa.

  4. Seramai 500 orang tetamu hadir yang terdiri daripada Barisan Menteri-Menteri Dan Timbalan Menteri Kabinet, Duta-Duta, Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua-Ketua Jabatan/Agensi Kerajaan, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan dan orang awam.

  5. Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1444H/2022M disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM dan disambung siar oleh TV Al-Hijrah serta Facebook dan Youtube JAKIM. Radio Nasional FM, Radio IKIM dan Web TV JAKIM turut membuat liputan secara langsung. Selain itu, beberapa radio RTM juga membuat lintas langsung iaitu Ai FM (Mandarin), Traxx FM (B. Inggeris), Minnal FM (Tamil) dan Asyik FM (Radio Orang Asli).

  6. Sambutan Ma’al Hijrah ini yang disambut saban tahun di negara kita tentunya mempunyai pengertian tersendiri, di samping untuk mengajak masyarakat agar sentiasa menghayati peristiwa besar yang pernah berlaku dalam sejarah Islam.

  7. Peristiwa hijrah mempunyai banyak pengajaran dan nilai yang dapat kita contohi dan aplikasikan dalam hidup pada masa kini. Saya yakin setiap dari kita mempunyai perspektif dan pengertian masing-masing berkaitan peristiwa hijrah ini. Harapan saya, semoga sambutan ma’al hijrah tahun ini dapat memberi manfaat yang bermakna buat kita semua.


Sekian.

DATUK HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD YUSOFF
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
29 Julai 2022