LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

MENGENAI

PELANTIKAN
PENGERUSI JAWATANKUASA PENYELARASAN PENDIDIKAN ISLAM KEBANGSAAN
MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL AGAMA ISLAM MALAYSIA (MKI)

Bil.17/2022

  1. Sukacita dimaklumkan, bahawa YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom, mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).

  2. Mesyuarat Majlis Raja Raja (MRR) Kali Ke-259 yang telah diadakan pada 30 Jun 2022 telah berkenan untuk menaik taraf Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI), MKI kepada Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan, MKI. YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom diperkenan untuk mempengerusikan jawatankuasa ini berkuatkuasa mulai 30 Jun 2022 sehingga 29 Jun 2024. Watikah pelantikan beliau telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selaku Pengerusi MKI pada Khamis, 18 Ogos 2022.

  3. LEPAI sebelum ini diperkenankan penubuhannya oleh MRR yang ke-126 pada 24 Februari 1983. Antara fungsinya ialah bertanggungjawab menyelaras, menambah baik dan membantu segala perkara berkaitan pelajaran dan pendidikan agama Islam di sekolah-sekolah agama negeri dan sekolah-sekolah agama rakyat di seluruh Malaysia. Berdasarkan pengalaman luas dan kredibiliti YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom dalam bidang pelajaran dan pendidikan, JAKIM menaruh keyakinan beliau akan dapat memimpin Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan untuk mencapai matlamat penubuhannya.

  4. JAKIM juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan sekalung penghargaan dan ribuan terima kasih kepada YBhg. Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Mohd Kamal bin Hassan, mantan Pengerusi LEPAI atas khidmat baktinya bermula 1 Jun 2019 hingga 31 Mei 2022.

 
Sekian.

DATUK HAJAH HAKIMAH BT MOHD YUSOFF
Ketua Pengarah JAKIM Merangkap Setiausaha MKI
2 September 2022