LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA SEBAGAI
SETIAUSAHA MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL
AGAMA ISLAM MALAYSIA (MKI)

BERKENAAN

MAJLIS PENGURNIAAN WATIKAH PELANTIKAN DAN PENGHARGAAN AHLI DILANTIK JAWATANKUASA BAWAH MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL AGAMA ISLAM MALAYSIA

Bil.19/2022

1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sebagai Sekretariat MKI menjunjung kasih atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj sebagai Pengerusi MKI, mencemar duli hadir ke Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan Dan Penghargaan Ahli Dilantik Jawatankuasa Bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 15 September 2022 (Khamis) jam 10.00 pagi di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor adalah Raja Pemerintah yang pertama diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja untuk mempengerusikan MKI.

2. Majlis ini dilaksanakan bagi menzahirkan setinggi penghargaan kepada Ahli Dilantik sebelum ini yang tamat pelantikannya seiring dengan penstrukturan semula MKI. JAKIM menyedari bahawa Ahli Dilantik sebelum ini telah memberikan komitmen yang padu dan kesungguhan dalam menyampaikan idea, solusi, pandangan dan berkongsi kepakaran serta pengalaman dalam Jawatankuasa yang dianggotai.

3. Ahli Dilantik baharu yang dilantik oleh MKI dengan perkenan Majlis Raja-Raja akan meneruskan legasi sedia ada dan melakar kejayaan baharu bagi manfaat umat Islam di Malaysia. Pelantikan Ahli Dilantik bagi setiap Jawatankuasa juga mengambil kira latar belakang kepakaran yang bersesuaian dengan fungsi Jawatankuasa tersebut.

4. MKI adalah suatu badan yang menyelaraskan dan menasihati Majlis Raja-Raja dalam perkara pentadbiran dan pengurusan hal ehwal agama Islam di seluruh negara. Pada 1 Julai 1969, badan ini telah ditubuhkan secara rasmi dengan nama Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Semenanjung Malaysia. Setelah Sabah dan Sarawak turut menganggotai MKI, badan ini telah ditukar namanya kepada Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.
 
5. Pada tahun 2019, MKI menyambut Jubli Emas sempena 50 tahun penubuhannya. Kini, selepas hampir 53 tahun melaksanakan peranannya, Majlis Raja-Raja pada 10 Mac 2022 telah berkenan agar MKI distrukturkan semula bagi memperkukuhkan fungsinya selaras dengan cabaran zaman dan keperluan tadbir urus semasa.

6. Melalui usaha penstrukturan tersebut, Majlis Raja-Raja telah memperkenankan Peraturan-peraturan baharu MKI bagi menggantikan Peraturan MKI yang digunapakai sejak tahun 1968. Peraturan MKI yang baharu ini telah memperuntukkan kuasa MKI, bagi menubuhkan apa-apa Jawatankuasa dengan perkenan Majlis Raja-Raja, untuk menguruskan perkara-perkara yang berhubungan dengan fungsi MKI.

7. Sebanyak empat Jawatankuasa telah ditubuhkan dan JAKIM menjadi urus setia bagi setiap Jawatankuasa ini:

7.1 Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Islam Kebangsaan yang dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Zuki bin Ali, Ketua Setiausaha Negara
7.2 Jawatankuasa Muzakarah MKI yang dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ (Dr.) Haji Nooh bin Gadot
7.3 Jawatankuasa Perundangan Islam Kebangsaan yang dipengerusikan oleh YBhg. Tan SriZaharah binti Ibrahim
7.4 Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan yang dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Alimuddin bin Mohd Dom

8. Penubuhan empat Jawatankuasa ini akan mampu memperkasakan pengurusan dan pentadbiran hal ehwal Islam di negara ini khususnya dalam menyeragam dan menggalakkan persamaan di bidang perundangan Islam, pengurusan hal ehwal Islam, pendidikan Islam dan penyelarasan fatwa. Sejak awal penubuhan MKI, banyak kejayaan yang telah dicapai antaranya:

8.1 Dalam bidang pendidikan Islam
8.1.1 Pelaksanaan kelas Takmir di masjid dan surau yang diputuskan pelaksanaannya pada tahun 1989
8.1.2 Pelaksanaan kelas Pendidikan Al Quran dan Fardhu Ain (KAFA) yang bermula sejak tahun 1991.

8.2 Dalam bidang perundangan Syariah
8.2.1 Pemisahan Mahkamah Syariah daripada Jabatan Agama Islam Negeri pada tahun 1986.
8.2.2 Penggubalan model undang-undang syariah yang seragam antara negeri.
8.2.3 Penubuhan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada 1 Mac 1998.
8.2.4 Pengasingan Bahagian Pendakwaan daripada Jabatan Agama Islam Negeri untuk dinaik taraf kepada Jabatan Pendakwaan Syariah telah dibentang dalam mesyuarat MKI kali ke-56 pada 16 Januari 2014.

8.3 Dalam bidang pengurusan hal ehwal Islam
8.3.1 Pemberian skim elaun tetap kepada imam Mukim/ Kariah di seluruh negara.
8.3.2 Penubuhan Bank Islam Sdn. Bhd, penubuhan sistem Takaful, serta Tabung Haji.

8.4 Dalam bidang pengurusan fatwa
8.4.1 Penyeragaman fatwa antara negeri-negeri terutama bagi hukum yang melibatkan isu nasional

9. Sehubungan itu, mohon jasa baik rakan-rakan media untuk membuat hebahan berkaitan majlis ini.

Sekian, terima kasih.

DATUK HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD YUSOFF
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sebagai Setiausaha Majlis Kebangsaan Bai Hal Ehwal Agama Islam Malaysia
15 September 2022/ 18 Safar 1444H