jata negara small

KENYATAAN MEDIA
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
( HAL EHWAL AGAMA )

BERKENAAN

PRA-PELANCARAN MAJLIS TILAWAH DAN MENGHAFAZ
AL-QURAN PERINGKAT ANTARABANGSA (MTHQA) KE-62
TAHUN 1444 H / 2022 M

Bil.22/2022

  1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-62 Tahun 1444 H / 2022 M bermula pada 19 hingga 24 Oktober 2022 bertempat di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC).

  2. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj telah perkenan untuk berangkat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada Johan Qari dan Qariah sempena MTHQA Ke-62.

  3. Sebagaimana kita sedia maklum bahawa Malaysia saban tahun tidak pernah gagal untuk menganjurkan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa. Malahan Malaysia pernah menerima pengiktirafan bagi kategori Penganjuran Program Al-Quran Terbaik 2016 oleh Kuwait International Prize Of Holy Quran.

  4. Walaubagaimanapun, semenjak pandemik Covid-19 melanda dunia, penganjuran MTHQA juga turut terjejas seketika demi untuk memelihara keselamatan dan mengawal penularan wabak tersebut.

  5. Kebiasaannya penganjuran MTHQA melibatkan dua (2) kategori iaitu pertandingan tilawah Al-Quran secara tartil dan pertandingan hafazan Al-Quran 30 juzuk. Namun, penganjuran MTHQA pada kali ini hanya melibatkan kategori pertandingan tilawah Al-Quran sahaja.

  6. Jawatankuasa Induk MTHQA Ke-62 telah sebulat suara bersetuju supaya peserta-peserta yang akan menyertai MTHQA perlu melalui sesi saringan. Alhamdulillah, sesi saringan kelayakan peserta MTHQA Ke-62 tersebut telah selesai dijalankan pada 1 hingga 7 Julai 2022 yang lalu secara atas talian yang melibatkan penyertaan 64 orang peserta daripada 40 buah negara.

  7. Sesi saringan kelayakan peserta MTHQA Ke-62 telah dinilai oleh barisan jemaah hakim yang berpengalaman dan memiliki ilmu yang luas dalam bidang Al-Quran. Seramai 36 orang peserta melibatkan 30 buah negara telah berjaya melepasi sesi saringan dan mereka akan menyertai MTHQA Ke-62 ini.

  8. Keluarga Malaysia yang ingin menyaksikan MTHQA Ke-62 dijemput hadir beramai-ramai ke Dewan Pleno, Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) pada 19 hingga 24 Oktober 2022 dan tempat adalah terhad. MTHQA Ke-62 akan disiarkan secara langsung menerusi saluran RTM1 bermula dari jam 8.45 malam hingga 11.30 malam.

  9. Selain itu, penonton juga boleh menyaksikan MTHQA Ke-62 melalui saluran media sosial rasmi JAKIM seperti TV JAKIM, Facebook dan Tiktok JAKIM serta lintas langsung dari beberapa radio RTM seperti Ai FM (Mandarin), Traxx FM (Inggeris), Minnal FM (Tamil) dan Asyik FM (Radio Orang Asli).

  10. Sehubungan itu, dimohon jasa baik rakan-rakan media untuk membuat hebahan berkaitan MTHQA Ke-62 ini.


Sekian

YB SENATOR DATUK HAJI IDRIS BIN HAJI AHMAD
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)
5 Oktober 2022