LOGO JAKIM small

KENYATAAN MEDIA
JAWATANKUASA PENYELARASAN PENDIDIKAN ISLAM KEBANGSAAN (JPPIK)

BERKENAAN

HALA TUJU JAWATANKUASA PENYELARASAN PENDIDIKAN ISLAM KEBANGSAAN (JPPIK)

Bil.25/2022

Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK) yang dahulunya dikenali sebagai Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) telah diwujudkan di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) berdasarkan Peraturan-Peraturan MKI Tahun 2022. JPPIK berperanan untuk menyelaras pendidikan Islam di seluruh negara bagi pendidikan Islam yang selain daripada skop tugas Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pewujudan JPPIK sebagai salah satu Jawatankuasa di bawah MKI adalah manifestasi kepercayaan Majlis Raja-Raja untuk melihat tadbir urus institusi pendidikan Islam di Malaysia dapat diselaraskan dengan baik dan teratur kerana ia memberi kesan kepada pembangunan sumber manusia terlatih pada masa akan datang.

Persidangan JPPIK Kali Ke-57 yang diadakan pada 5 Oktober 2022 bertempat di Kompleks Islam Putrajaya telah menetapkan hala tuju JPPIK sebagai satu bukti kesungguhan Jawatankuasa ini dalam memikul amanah dan tanggungjawab bagi memastikan satu sistem pendidikan Islam yang seragam, tersusun dan berwibawa serta berupaya memberikan pendidikan terbaik dan berkualiti dapat direalisasikan.

Sehubungan dengan itu, beberapa strategi pelaksanaan telah digariskan antaranya ialah penyediaan Standard Operation Procedure (SOP) berkaitan tadbir urus pendidikan Islam yang komprehensif dan memastikan semua pihak menggunakannya, penyeragaman undang-undang dan kaedah yang seragam berkaitan pendidikan Islam dan pengemaskinian semua perkara berkaitan pendidikan Islam melibatkan pedagogi pengajaran dan pembelajaran (PdP), pengurusan sekolah, penaziran, buku teks dan peperiksaan.

Persidangan JPPIK yang diadakan pada setiap tahun adalah medium untuk memperkasakan tadbir urus institusi pendidikan Islam di Malaysia merangkumi institusi yang dikendalikan oleh pihak kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta institusi yang diuruskan sendiri oleh pihak swasta atau persendirian agar pendidikan Islam yang disediakan mempunyai kualiti dan seiring dengan pendidikan arus perdana.

Persidangan ini melibatkan ahli-ahli yang dilantik oleh MKI dengan perkenan Majlis Raja-Raja dan wakil-wakil dari setiap negeri yang dilantik oleh Raja Pemerintah Negeri itu. Turut hadir adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri-negeri (JAIN), Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Yayasan Islam Negeri yang bertanggungjawab mengenai pendidikan Islam. Keputusan-keputusan ini akan dimaklumkan dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Adalah diharapkan agar pendidikan Islam di luar skop Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan sentiasa kemas dan tersusun sejajar dengan sambutan dan permintaan yang menggalakkan pada masa kini. Matlamat penyelarasan di bawah Peraturan-Peraturan MKI 2022 yang diperkenankan DYMM Raja-Raja pada 10 Mac 2022 mesti dizahirkan secara tuntas. Pendidikan Islam di bawah kuasa negeri perlu menjadi pelantar penyedia kelahiran sumber manusia dan modal insan cemerlang dalam usaha membangunkan negara dan setanding dengan sistem Pendidikan di bawah KPM.

Sekian.

(Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom)
Pengerusi
Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan
Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia
7 Oktober 2022