Rujukan Fail : PKPU/3-1/09/10(11)
Tarikh : 15 November 2010
 
jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
 
PERSATUAN KAKITANGAN PERKHIDMATAN UGAMA (PKPU)
JAKIM, JABATAN PERDANA MENTERI
 
“JAKIM BERSAMA PKPU ANJUR EKSPEDISI KASIH DAN KORBAN KE KEMBOJA TAHUN 2010”
 
 
Saya ingin menarik perhatian tuan/puan kepada perkara di atas.
 
2.  Sukacita saya memaklumkan, Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU), Jabatan Perdana Menteri bersama Jakim akan menjayakan Ekspedisi Kasih dan Korban Ke Kemboja Tahun 2010 pada 18 hingga 21 November 2010.
 
3.  Untuk rekod, PKPU adalah merupakan sebuah NGO yang berdaftar dan di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Perdana Menteri. Ahli-ahli PKPU adalah terdiri daripada pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Hal Ehwal Islam Jakim yang berada di seluruh Malaysia.
 
4.  Sempena Hari Raya Korban pada tahun lalu (2009), PKPU telah mengorak langkah mengadakan program amal merentasi benua apabila bersama-sama Jakim mengadakan Ekspedisi Kasih dan Korban Ke Kemboja Tahun 2009. Program ini diadakan atas rasa keprihatinan terhadap penduduk di Kemboja yang dhaif dan memerlukan perhatian khususnya dalam aspek pendidikan dan sosio ekonomi. Pada tahun 2009, program yang juga mendapat kerjasama Combodian Muslim Intellectual Alliance (CMIA) iaitu sebuah NGO di Kemboja telah berjaya mengumpul dana bagi membina sebuah sekolah agama untuk anak-anak masyarakat Islam di Kemboja.
 
5.  Lanjutan program yang diadakan pada tahun 2009, pada 11 Januari 2010 telah diadakan MoU antara PKPU - CMIA bagi mengadakan aktiviti-aktiviti untuk mengumpul dana dalam usaha membantu pendidikan umat Islam di Kemboja. Majlis menandatangani MoU tersabut disaksikan oleh Y.B Senator Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Y.B Senator Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
 
6.  Lanjutan MoU tersebut, pada tahun ini PKPU sekali lagi menjalankan program Ekspedisi Kasih dan Korban di Kemboja dengan mempelawa umat Islam di Malaysia yang berminat untuk melaksanakan ibadah korban di sana. Sebahagian hasil korban mereka itu akan disalurkan kepada dana pendidikan umat Islam di sana.

7.  Sehingga kini, sejumlah 924 bahagian korban atau 132 ekor lembu hasil korban yang akan dilakukan oleh seramai 900 peserta dari Malaysia telah berjaya dikumpulkan. Sebahagian daripada hasil aktiviti korban ini, iaitu sebanyak RM50,000.00 akan disumbangkan terus kepada tabung pendidikan umat Islam Kemboja bagi membina sekolah agama dan membeli peralatan pembelajaran di sana.
 
8.  Bagi melaksanakan amanah umat Islam dari Malaysia ini, di samping melaksanakan tanggungjawab fardu kifayah, PKPU bersama Jakim, Persatuan Intelektual Islam Malaysia (UKM), serta individu-individu sukarela seramai 70 orang akan turut serta dalam menjayakan misi ini.

9.  Y.B Menteri di JPM selaku Pengerusi Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) juga telah berbesar hati menyumbang RM10,000.00 untuk disampaikan kepada asnaf di Kemboja.
 
10.  Bagi memastikan ibadah korban ini dilaksanakan secara teratur dan penuh integriti, YDP PKPU Ustaz Mohamad Nordin bin Ibrahim telah melaksanakan upacara wakalah (penyerahan mewakilkan urusan penyembelihan kurban) kepada Presiden CMIA di Phnom Penh pada 13 November 2010. InsyaAllah seramai 16 orang pegawai dari kalangan ahli PKPU JAKIM akan berada di Kemboja sepanjang hari Tasyrik untuk sama menyaksikan pelaksanaan ibadah kurban tersebut serta melakukan ziarah bilhal kepada masyarakat Islam Cham di beberapa buah kampong di Kemboja.
 
11.  Pihak penganjur ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada umat Islam di Malaysia yang telah menyertai ibadah korban bersama kami di Kemboja. Semoga sumbangan meraka akan diterima dan diberkati oleh Allah SWT hendaknya.

12.  Sukacita dipohon pihak media dapat memaklumkan perkara ini kepada masyarakat.Sekian, terima kasih.
 
BERKHIDMAT UNTUK NEGARA
Saya yang menurut perintah,
 
(HAJI MOHAMAD NORDIN BIN IBRAHIM)