jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
 
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERKENAAN
 
ISU PENENTUAN AWAL BULAN SYAWAL 1432H
 

1. Sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Cawangan Falak JAKIM ingin memaklumkan bahawa kaedah penentuan awal syawal 1432H di Malaysia adalah menggunakan kaedah rukyah (cerapan) dan hisab berpandukan kriteria imkanur rukyah (kebolehnampakan).

2. Bagi negara Malaysia, stesen rujukan yang digunakan untuk penentuan awal bulan hijriah adalah Tanjung Atiam, Sabah dan Tanjung Chinchin, Langkawi. Dua stesen rujukan ini dipilih berdasarkan kesesuaian kedudukan geografinya di mana Tanjung Chincin berada pada rujukan paling barat manakala Tanjung Atiam pada rujukan paling timur merangkumi seluruh Malaysia (Rajah 1).

3. Rumusan analisis adalah berdasarkan kepada kriteria ketetapan Imkanur-rukyah yang telah dipersetujui bersama oleh anggota-anggota Menteri-menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) dalam Mesyuarat Penyelarasan Rukyah dan Takwim Islam Kali Ketiga pada 29 Zulkaedah 1412 bersamaan 1 Jun 1992 di Labuan. Kriteria tersebut (Rajah 2) adalah seperti berikut:

(a) Ketika matahari terbenam, ketinggian anak bulan di atas ufuk tidak kurang daripada 2° dan jarak lengkung bulan-matahari tidak kurang daripada 3°.

ATAU

(b) Ketika bulan terbenam, umur anak bulan tidak kurang daripada 8 jam selepas ijtimak berlaku.

rajah1 stesen analisis

 

rajah2 penetapan rukyah

4. Bagi negara Malaysia, tarikh 29 Ramadhan 1432H adalah bersamaan dengan 29 Ogos 2011 (hari Isnin). Ijtimak dijangka berlaku pada jam 11:04 pagi. Data rukyah pada 29 Ramadhan 1432H adalah seperti berikut:

rajah3 ketetapan imkanur rukyah

5. Perbezaan penentuan tarikh hari raya di antara negara-negara Islam berlaku kerana wujudnya perbezaan matlak iaitu perbezaan terbit dan terbenamnya hilal (anak bulan). Ia juga bergantung pada penentuan pihak berkuasa agama di negara masing-masing sama ada menggunakan kaedah rukyah sahaja, hisab sahaja atau rukyah dan hisab.

6. Oleh yang demikian tidak timbul isu bagi negeri Sabah dan Sarawak tidak akan menyambut awal Syawal 1432H bersama-sama dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Penetapan bermulanya awal Ramadhan dan Syawal juga adalah tertakluk kepada pengisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.

7. Bagi negara Brunei, ketetapan awal bulan utama di negara tersebut adalah berpandukan kepada rukyah semata-mata. Oleh itu, rukyah bagi menentukan awal Syawal di negara terbabit akan dilakukan pada 29 Ramadhan 1432H yang mana tarikh tersebut membetuli 30 Ogos 2011 di negara Brunei. Sekiranya anak bulan kelihatan di Brunei, maka negara tersebut akan menyambut hari raya puasa pada 31 Ogos 2011 dan sekiranya tidak kelihatan maka Ramadhan 1432H akan digenapkan kepada 30 hari dan 1 Syawal 1432H akan bersamaan 1 September 2011.

8. Walau bagaimanapun, JAKIM menyeru agar semua rakyat Malaysia yang beragama Islam sama ada berada di Semananjung atau di Sabah dan Sarawak untuk mematuhi keputusan pengumuman Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia bagi rujukan dalam menentukan awal Syawal 1432H.

9. Atas jasa baik pihak media dalam mewar-warkan perkara ini kepada masyarakat Malaysia amatlah diharapkan dan didahului dengan ucapan terima kasih. Sekian

 
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
Saya yang menurut perintah,
 
HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA
Pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Kalendar Islam