jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA

KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERKENAAN
 
“ISU STATUS HALAL GOLDEN CHURN BUTTER”
 
 
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ingin merujuk kepada tajuk akhbar berkenaan isu status halal Golden Churn Butter.
 
JAKIM terlebih dahulu ingin menegaskan bahawa sebenarnya isu kekeliruan terhadap perbezaan status
halal produk Golden Churn Butter antara JAKIM dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) tidak timbul kerana ujian yang dilakukan oleh JAKIM terhadap produk berkenaan adalah melibatkan sampel daripada pengimport yang berbeza.

Dalam melaksanakan ujian kandungan DNA babi dalam sesuatu produk, beberapa faktor perlu diambil kira seperti nombor kelompok keluaran produk yang diambil, pembungkusan, tempat pengambilan sampel dan faktor- faktor lain yang mungkin berlaku semasa pengeluaran produk berkenaan dikilangkan. Dalam pada itu, faktor kemungkinan berlaku kontaminasi di peringkat-peringkat tertentu juga perlu diambil kira.

Oleh yang demikian, JAKIM ingin memaklumkan bahawa kedua-dua sampel yang diambil oleh JAKIM dan JAIS diambil daripada nombor kelompok dan pembungkusan yang berbeza termasuk perbezaan pengimport dan tempat pengambilan sampel.
 
Sehubungan itu, walaupun terdapat dua pandangan yang berbeza, Jakim tidak mencanggahi penemuan DNA babi dalam sampel produk berkenaan yang diambil oleh Jabatan Agama Islam Sarawak kerana faktor-faktor yang telah dinyatakan dan umat Islam di Sarawak wajar untuk mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh Jabatan Agama Islam Sarawak.
 

HAJI OTHMAN MUSTAPHA
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
3 Ogos 2011
 
 
Lampiran :