Jakim logo white small
 
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
 
BERKENAAN
 
FENOMENA GERHANA MATAHARI SEPARA
9 MAC 2016 BERSAMAAN 29 JAMADILAWAL 1437H
__________________________________________________________
 
Sukacita dimaklumkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Unit Falak, Seksyen Syariah, Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Jakim ingin memaklumkan bahawa satu fenomena gerhana matahari separa dijangka berlaku pada 9 Mac 2016 bersamaan 29 Jamadilawal 1437H. Gerhana matahari separa akan bermula pada jam 7.24 pagi dan mencapai tahap kemuncak pada jam 8.23 pagi. Gerhana dijangka berakhir pada jam 9.30 pagi Waktu Piawai Malaysia.
 
Bersempena fenomena ini, masyarakat Islam disunatkan menunaikan solat sunat gerhana matahari berjemaah disertai dengan khutbah gerhana. Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud: “Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah. Tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka apabila kamu melihat gerhana, maka dirikanlah solat dan berdoalah sehingga kembali terang (hilang gerhana)”.
 
Sehubungan itu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menyeru semua masjid-masjid dan surau supaya dapat mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan mengadakan solat sunat gerhana (kusuf) berserta khutbah gerhana. Ibadat sunat ini seharusnya dapat ditunaikan dengan sebaik mungkin, apatah lagi fenomena gerhana ini jarang-jarang berlaku. Jakim juga melalui Unit Falak dan Masjid Putra Putrajaya akan menganjurkan solat sunat gerhana matahari pada jam 8.00 pagi. Selain itu aktiviti cerapan juga akan diadakan di Masjid Putra dengan kerjasama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Lokasi utama majlis solat sunat gerhana matahari dan aktiviti cerapan ini akan diadakan di Masjid Putra, Putrajaya. Orang ramai terutama penduduk di kawasan Putrajaya dan kawasan sekitarnya adalah dijemput hadir bagi menyaksikan fenomena alam semula jadi ini serta turut serta menunaikan solat sunat gerhana matahari.
 
Dimohon kerjasama dan jasabaik rakan-rakan media untuk mewar-warkan tentang program ini kepada pengetahuan umum dan dijemput rakan-rakan media untuk membuat liputan di sepanjang majlis tersebut berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya.
 
Sekian, terima kasih
 
DATO’ HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA
8 Mac 2016
 
 
Lampiran :