Jakim logo white small
 
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
MERANGKAP PENGERUSI
PANEL PAKAR FALAK JAKIM
 
BERKENAAN
 
SAMBUTAN AWAL RAMADAN 1437H / 2016 DI MALAYSIA
____________________________
 
  1. Sukacita dimaklumkan bahawa tarikh melihat anak bulan telah ditetapkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia iaitu pada 5 Jun 2016 bersamaan 29 Syaaban 1437H hari Ahad. Dalam hal yang berkenaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Panel Pakar Falak Jakim berperanan menyediakan analisis data bagi rujukan dan panduan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia. Kaedah penentuan awal Ramadan 1437H di Malaysia adalah menggunakan kaedah rukyah (cerapan) dan hisab (hitungan) berpandukan kriteria imkanur rukyah (kebolehnampakan) sepertimana yang telah disepakati oleh negara-negara anggota Pertemuan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS).

  2. Stesen rujukan yang digunakan dalam analisis data untuk penentuan awal bulan hijriah adalah di Tanjung Atiam, Sabah dan di Tanjung Chinchin, Langkawi. Dua stesen rujukan ini dipilih berdasarkan kesesuaian kedudukan geografinya di mana Tanjung Chincin berada pada rujukan paling barat manakala Tanjung Atiam pada rujukan paling timur merangkumi seluruh Malaysia.

  3. Analisis data yang berpandukan kepada kriteria Imkanur-Rukyah adalah hilal dianggap boleh kelihatan apabila kiraan memenuhi salah satu daripada syarat-syarat yang berikut:

  4. (a) Ketika  matahari  terbenam,  ketinggian  anak  bulan di atas ufuk tidak  kurang daripada 2° dan jarak
         lengkung bulan-matahari tidak kurang daripada 3°.
     
    ATAU
     
    (b) Ketika bulan  terbenam,  umur  anak  bulan  tidak  kurang daripada 8 jam selepas ijtimak berlaku.
     
  5. Dari segi praktisnya, pada petang hari Ahad ini Jawatankuasa Rukyah Negeri-Negeri yang terdiri daripada Mufti Negeri sebagai ketua rombongan, Ketua Hakim Syar’ie, Pengarah Jabatan Ukur Negeri atau wakilnya yang beragama Islam dan seorang ahli falak akan melaksanakan rukyah hilal di 29 tempat cerapan rasmi di negeri masing-masing.

  6. Kesemua hasil rukyah hilal di 29 tempat cerapan tersebut akan dilaporkan kepada Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia. Sekiranya Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menerima laporan yang pertama daripada Pusat Cerapan Hilal di peringkat negeri mengenai ada kelihatannya hilal, maka Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan menyembahkan perkara tersebut kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan. Tetapi sekiranya Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menerima laporan dari semua negeri bahawa hilal tidak kelihatan, maka Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan berpandukan kepada kiraan falak yang telah disediakan oleh Panel Pakar Falak Jakim. Kaedah rukyah dan hisab ini telah dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja untuk digunapakai di Malaysia.
  7. Bagi Negara-negara MABIMS yang lain, tarikh melihat anak bulan Ramadan juga jatuh pada tarikh yang sama. Ini kerana kesepakatan dalam menggunakan takwim Imkanur-Rukyah bagi penentuan awal hijrah telah dipersetujui dalam persidangan Mesyuarat Penyelarasan Rukyah dan Takwim Islam Kali Ketiga pada 29 Zulkaedah 1412H bersamaan 1 Jun 1992 di Labuan.

  8. Untuk makluman masyarakat Islam di Malaysia, pengumuman rasmi sambutan awal Ramadan akan dibuat oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Pada masa yang sama juga, Jakim juga ada menyediakan paparan Jadual Waktu Berbuka Puasa dan Imsak yang boleh didapati melalui laman web Jakim bagi seluruh negeri di Malaysia.

  9. Di kesempatan ini juga Jakim ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh Umat Islam di  Malaysia.

 
      Sekian, terima kasih
 
      DATO’ HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA
      30 Mei 2016
 
 
Lampiran :