jata negara small

KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

ISU TULAR TANGKAP LAYAR
“PEMBERITAHUAN AKHIR RAMADAN 1444H 20 APRIL 2023”

Bil. 4/2023


1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil maklum tentang penularan satu tangkap layar yang memaparkan “Pemberitahuan Akhir Ramadan 1444H 20 April 2023” yang dipercayai disiarkan menerusi sebuah paparan iklan di sebuah masjid. Paparan tersebut telah menimbulkan spekulasi dalam kalangan warga maya mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

2. JAKIM ingin memaklumkan, bahawa pengisytiharan tarikh 1 Syawal pada setiap tahun bagi negara Malaysia adalah dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui media utama sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan yang dibuat di 29 lokasi cerapan rasmi setelah mendapat perkenan SPB Yang Di-Pertuan Agong yang mewakili Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

3. Cerapan Hilal Syawal bagi tahun ini (1444H) adalah pada petang hari Khamis, 29 Ramadan 1444H bersamaan 20 April 2023. Semua pihak disaran membuat semakan ketepatan tarikh hijri yang terdapat pada jam digital azan khususnya di masjid dan surau agar sentiasa selari dengan kalendar hijri yang dikeluarkan oleh JAKIM atau pihak berkuasa agama negeri dan disahkan oleh Panel Pakar Falak.

4. Semua pihak adalah dimohon untuk menghormati ketetapan yang dibuat oleh Majlis Raja-Raja mengenai perkara ini dan tidak membuat sebarang andaian mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.


Sekian terima kasih.

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

31 Mac 2023