jata negara small
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

MAKLUMBALAS LAPORAN AKHBAR UTUSAN MALAYSIA BERTARIKH 13 APRIL 2023 BERTAJUK “CERAPAN ANAK BULAN LEBIH KETAT DAN TELITI’’

Bil. 9 /2023

  1. JAKIM ingin merujuk laporan akhbar Utusan Malaysia bertajuk “Cerapan Anak Bulan Lebih Ketat Dan Teliti’’ yang disiarkan pada Khamis, 13 April 2023.

  2. Laporan akhbar berkenaan bahawa hasil cerapan 1 Syawal 1443H / 2 Mei 2022 yang lalu tidak sah dan terbatal adalah tidak benar sama sekali. Ini kerana hasil cerapan tersebut telah mengikut prosedur yang telah ditetapkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia. Pada petang 29 Ramadan 1443H, anak bulan telah berjaya dikesan melalui teleskop oleh salah seorang ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan Labuan dan imej yang diperolehi telah disemak oleh jawatankuasa berkenaan. Selain itu, kakitangan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang merupakan ahli jawatankuasa tersebut juga telah dapat mencerap hilal melalui peralatan teodolit. Imej yang diperolehi kemudiannya disahkan oleh Ketua Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Labuan yang bertugas pada petang tersebut dan dilaporkan kepada Sahibus Samahah Mufti Wilayah Persekutuan yang berada di lokasi cerapan rasmi Menara Kuala Lumpur. Satu perbincangan khusus juga kemudian dilaksanakan oleh Sahibus Samahah Mufti bersama pakar falak dan Ahli Jawatankuasa Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan untuk mengesahkan imej yang diperolehi dengan membandingkan data-data hilal yang disediakan sebelum keputusan menerima kenampakan tersebut dibuat. Kenampakan hilal tersebut kemudiannya dilaporkan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia untuk diperkenan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka baginda Yang Di-Pertuan Agong.

  3. Secara teknikalnya, data hilal Syawal 1443H adalah tidak memenuhi syarat Kriteria Imkanur Rukyah (KIR) yang telah ditetapkan iaitu “ketika matahari terbenam ketinggian hilal sekurang-kurangnya 3⁰ dan Jarak Lengkung hilal Matahari 6⁰ 24``”. Data hilal Syawal pada ketika itu adalah berada pada ketinggian 5⁰ 27`` dan Jarak Lengkung 5⁰ 28``. Daripada data tersebut dapat dirumuskan bahawa kedudukan hilal berada pada kedudukan kritikal atau 50/50 untuk dapat dilihat kerana salah satu syarat telah dipenuhi dan beza dengan syarat Kriteria Imkanur Rukyah terlalu kecil.

  4. Selain itu juga, tempoh cerapan hilal yang agak lama iaitu 27 minit dan keadaan cuaca yang baik membantu kepada proses cerapan dan peluang kenampakan hilal. Umur hilal yang mencecah 15 jam 28 minit juga menunjukkan bahawa lebar sabit hilal adalah lebih matang dan peluang kenampakan ketika itu adalah lebih cerah. Oleh kerana peluang kenampakan hilal pada ketika itu adalah 50/50, perkara ini telah dibincangkan dan diberi perhatian oleh Jawatankuasa Falak Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Mufti Wilayah supaya segala kemungkinan tersebut diberi perhatian yang sewajarnya. Penjelasan lanjut berhubung isu ini boleh diikuti menerusi laman Facebook rasmi JAKIM dalam rancangan Tanya JAKIM yang disiarkan secara langsung menerusi pautan https://fb.watch/jTb3oYTnYQ/?mibextid=cr9u03.

  5. JAKIM juga menyangkal laporan artikel berkenaan yang menyatakan bahawa laporan kenampakan hilal Syawal 1443H tidak direkodkan dalam laman sesawang Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia. Kenyataan tersebut adalah tidak benar dan mengelirukan kerana semakan JAKIM di laman sesawang Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia mendapati rekod tersebut boleh diakses di pautan https://www.majlisraja-raja.gov.my/ms/cerapan-anak-bulan.

  6. Sehubungan itu, kenyataan bahawa pengisytiharan kenampakan hilal Syawal 1433H/ 2 Mei 2022 di Labuan terbatal adalah amat tidak tepat dan sangat mengelirukan.

  7. Semua pihak disarankan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan atau sebarang kandungan berkaitan isu penetapan tarikh 1 Syawal supaya tidak berlakunya kegusaran dan polemik yang boleh menjurus kepada ketidaktenteraman awam. Masyarakat juga dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan berautoriti sebelum mengeluarkan sebarang komen.

  8. JAKIM menyeru kepada masyarakat awam supaya menghentikan sebarang polemik dan menunggu hasil keputusan cerapan Syawal 1444H yang akan diisytiharkan pada malam 29 Ramadan 1444H/ 20 April 2023 oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Malaysia.

 
Sekian.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
13 April 2023