jata negara small
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

PERUNTUKAN KEWANGAN JAKIM UNTUK NEGERI PERAK

Bil. 10 /2023

  1. Sukacita dimaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan pada hari Sabtu 15 April 2023 telah menyerahkan cek cura Peruntukan Kewangan JAKIM bagi tahun 2023 untuk Negeri Perak berjumlah RM77,769,264.00. Peruntukan ini adalah bagi tujuan pembayaran elaun dan imbuhan kepada guru KAFA, imam, bilal, siak dan guru takmir termasuk bayaran khas One-Off RM600.00 kepada kumpulan berkenaan di negeri Perak. (Maklumat Lanjut di Lampiran).

  2. Peruntukan tersebut telah dipersembahkan oleh YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah. Turut menyaksikan penyerahan tersebut adalah YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak.  Upacara telah berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan.

  3. Peruntukan Kewangan JAKIM kepada negeri adalah sebahagian daripada jumlah RM1.5 bilion bajet bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam tahun 2023 yang telah diumumkan oleh YAB Dato' Seri Anwar Bin Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada Februari lalu. Agihan ini merupakan manifestasi keprihatinan Kerajaan Malaysia terhadap pengurusan hal ehwal Islam di negara ini.

  4. Semoga dengan peruntukan yang disediakan ini, usaha pihak kerajaan dalam memperkasakan lagi pengurusan hal ehwal Islam di negara ini ke arah membina generasi Al-Falah (berjaya) selaras dengan aspirasi Malaysia Madani dapat dicapai.

 
Sekian.

DATUK HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD YUSOFF
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
17 April 2023