jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

ISU ANJING PELIHARAAN DALAM FACEBOOK NURHANIZAH ABDUL RAHMAN
________________________________________________________________________
 
 
Jakim telah mengenalpasti seorang individu bernama Nurhanizah Abdul Rahman yang telah memuatnaik dalam Facebook beliau pada 1 Julai 2017 jam 2.11 petang pengkisahan berkaitan anjing peliharaan beliau yang bernama Bubu.
 
Jakim amat menyesali perbuatan memegang anjing secara sengaja begini tanpa sebarang sebab yang dibenarkan dalam Islam. Ini menimbulkan keresahan di kalangan umat Islam kerana ia bercanggah dengan pegangan mazhab dan ‘uruf/ adat di Malaysia. Menurut Mazhab Syafie, umat Islam adalah dilarang menyentuh anjing secara sengaja kerana menajiskan diri tanpa tujuan yang munasabah adalah haram di sisi Islam.
 
Walaupun Islam meletakkan kaedah sertu apabila terkena najis yang dikategorikan sebagai ‘mughallazah’ namun kaedah tersebut bukanlah alasan untuk membolehkan seseorang itu memegang najis mughallazah secara sengaja. Tindakan tersebut samalah seperti orang yang sengaja melakukan dosa dengan alasan akan bertaubat kemudiannya.
 
Justeru, Jakim berharap individu tersebut perlu segera memberhentikan perbuatan tersebut dan kembali bertaubat kepada Allah. Perbuatan sebegini dilihat seolah-olah beliau cuba mencipta budaya baru yang boleh membawa kepada perbuatan menghina agama Islam.
 
Pada dasarnya Islam tidak memandang keji kepada binatang anjing sebagai salah satu makhluk Allah. Apatah lagi untuk menyeksa, memukul dan membunuh anjing tanpa sebab adalah sama sekali bertentangan dengan ajaran Islam.
 
Walau bagaimanapun, dalam Mazhab Syafie, umat Islam tidak dibenarkan untuk menjadikan haiwan tersebut sebagai binatang peliharaan. Malahan Islam mewajibkan semua umatnya untuk memelihara kesucian diri, pakaian dan tempat tinggal agar ia tidak menjejaskan amal ibadah seharian.
 
Bagi mencari jalan penyelesaian terhadap isu ini secara berhikmah demi kebaikan bersama, individu tersebut dinasihatkan agar dapat merujuk kepada pihak Jakim berkaitan hukum memelihara anjing.
 
Sekian.
 

TAN SRI DATO’ HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA
Ketua Pengarah Jakim
5 Julai 2017