jata negara small
KENYATAAN MEDIA

MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
(HAL EHWAL AGAMA)

BERKAITAN


PENGANJURAN
PERSIDANGAN SERANTAU KEKELUARGAAN ISLAM 2023

Bil. 31/2023

  1. Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) selaku Sekretariat MABIMS di Malaysia menganjurkan Persidangan Serantau Kekeluargaan Islam 2023 pada 21 hingga 22 September 2023 bersamaan 5 hingga 6 Rabiulawal 1445H bertempat di Auditorium Ibnu Sina Masjid Putra, Putrajaya.

  2. Persidangan ini melibatkan 9 pembentang dari negara-negara MABIMS iaitu Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia dan Malaysia. MABIMS adalah wadah pertemuan bagi empat (4) buah negara serantau dalam usaha menyelaras pengurusan hal ehwal Islam dan memperkasa umat Islam di peringkat serantau.

  3. Penyertaan peserta dalam persidangan ini adalah secara bersasar iaitu mereka yang terlibat secara langsung berkaitan bidang kekeluargaan Islam di pelbagai agensi kerajaan, institut pengajian tinggi awam dan NGO yang mengumpulkan hampir 300 orang.

  4. Bertepatan dengan tema persidangan “Kesejahteraan Ummah Bermula Di Sini”, persidangan yang julung-julung kalinya diadakan ini bertujuan menjadi platform rintis bagi perkongsian pandangan dan amalan terbaik pendekatan dan inisiatif yang dilaksanakan oleh negara-negara serantau dalam menangani dan mengurus isu-isu kekeluargaan khususnya dalam kalangan umat Islam ke arah mencapai kesejahteraan ummah.

  5. Di samping itu, objektif persidangan ini juga adalah untuk mempromosi dan menyebarluas pendekatan Islam dalam menangani isu-isu kekeluargaan serta meningkatkan kesedaran dan keyakinan bahawa pendekatan Islam adalah alternatif terbaik.

  6. Pelbagai inisiatif menggunakan pendekatan Islam yang telah dilaksanakan oleh JAKIM dalam usaha memastikan kesejahteraan institusi keluarga di Malaysia. Antaranya adalah dengan menubuhkan KSKCareCentre (KSKCC) yang menyediakan khidmat sokong bantu melalui pendekatan kerohanian iaitu kaunseling syarie, terapi psikospiritual Islam dan ‘ilaj syarie.

  7. Penganjuran persidangan ini juga diharapkan menjadi titik tolak kepada jaringan kerjasama yang lebih utuh di antara negara-negara serantau khususnya dalam aspek kekeluargaan Islam seiring dengan fungsi JAKIM dalam usaha melaksanakan pembangunan ummah melalui kerjasama di peringkat serantau, dan sepertimana yang terkandung dalam Pelan Transformasi Al-Falah di bawah Teras Kedua (2) iaitu Kesejahteraan Insan, dan Fokus Keempat (4) iaitu Pengukuhan Perpaduan Ummah dan Keharmonian Tamadun.

  8. Harapan saya agar segala perkongsian yang dicurahkan oleh semua delegasi dalam persidangan ini dapat dimanfaatkan semaksima mungkin dalam mengatur strategi secara sinergi serta direalisasikan di negara serantau. Seterusnya input-input terkini yang diperoleh dalam persidangan ini dapat dipraktikkan oleh para peserta dalam mengurus isu-isu kekeluargaan Islam masa kini. Semoga kita akan terus istiqomah dalam usaha memperkukuh institusi kekeluargaan Islam yang menjadi tunjang kepada kesejahteraan ummah.

          Sekian, terima kasih.


DATO’ SETIA DR. MOHD NA’IM BIN HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)

21 September 2023