jata negara small

KENYATAAN MEDIA

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

IJTIMAK PERDANA AGENSI AGAMA SELURUH MALAYSIA
(IJPAM) SABAH 2023

ijpam

Bil. 34/2023

  1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU), JAKIM akan menganjurkan Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) Sabah 2023 bermula 30 September 2023 (Sabtu) hingga 5 Oktober 2023 (Khamis) di Kota Kinabalu, Sabah.

  2. Penganjuran IJPAM Sabah 2023 adalah kesinambungan kejayaan IJPAM 2022 yang diurusetiakan oleh JAKIM buat julung-julung kali diadakan pada 1 hingga 5 November 2022 bertempat di UNITEN Bangi, Selangor. Pada tahun ini, Sabah telah dipilih sebagai tuan rumah bagi menerima penyertaan seramai 2000 peserta delegasi dari agensi-agensi agama persekutuan di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan agensi agama di peringkat negeri termasuk Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti, Mahkamah Syariah, dan Jabatan Pendakwaan Syariah.

  3. Pelbagai pengisian program diadakan sepanjang IJPAM Sabah 2023 yang bermatlamat untuk meningkatkan kesepaduan dan kebersamaan antara agensi agama sama ada di peringkat persekutuan dan negeri bagi mencapai kecemerlangan pengurusan hal ehwal Islam di negara ini. Acara utama sempena IJPAM Sabah 2023 adalah Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam pada 4 Oktober 2023 (Rabu) bertempat di Sabah International Covensyen Center (SICC), Kota Kinabalu, Sabah bermula jam 8.30 pagi. YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri akan menyempurnakan perasmiannya pada jam 8.00 malam yang akan turut dihadiri YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah. Konvensyen yang bertemakan “Transformasi Pengurusan Hal Ehwal Islam Dalam Era Malaysia Madani” menampilkan 4 tokoh yang akan membentangkan kertas kerja masing-masing dimulai YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Syed Zainal Abidin bin Syed Mohd Tahir seorang tokoh korporat selaku Pembentang Kertas Kerja Utama. Selain itu, YBhg. Datuk Haji Misnu bin Haji Taha, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Sahibus Samahah Datu Haji Kipli bin Haji Yassin, Mufti Negeri Sarawak dan Sahibus Samahah Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Haji Jaafar, Mufti Negeri Sabah akan membuat pembentangan selari yang akan dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Haji Mohd. Ajib bin Ismail, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) merangkap Yang Dipertua Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama, JAKIM.

  4. Majlis Penutupan IJPAM Sabah 2023 akan disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd. Naím bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada 5 Oktober 2023, jam 9.00 pagi bertempat di Stadium Likas, Sabah.

  5. Semoga tema IJPAM Sabah 2023, iaitu “Kukuh Perpaduan Semarak Madani” dapat dicapai melalui acara yang disusun atur pada kali ini. 

Sekian.

DATUK HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD YUSOFF
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
merangkap
Pengerusi Jawatankuasa Induk IJPAM Sabah 2023
29 September 2023