jata negara small
KENYATAAN MEDIA

KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

PENGANJURAN PROGRAM HALAL ON TRACK BERSAMA
YANG AMAT BERHORMAT TIMBALAN PERDANA MENTERI


Bil. 35 / 2023

  1. Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan program Halal on Track bersama Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri pada 23 Rabiulawal 1445H bersamaan 9 Oktober 2023M (Isnin) di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, Kuala Lumpur bermula jam 7.30 pagi hingga 5.30 petang. Program ini akan dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi Timbalan Perdana Menteri.

  2. Program ini adalah hasil cetusan idea dan inspirasi YAB Timbalan Perdana Menteri semasa merasmikan Halal Sectoral Forum pada 13 September 2023. Ia merupakan manifestasi komitmen JAKIM untuk membantu pemain industri di Malaysia agar memahami dengan lebih mendalam berkaitan proses permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), bermula daripada peringkat persediaan (pra pensijilan) hingga kepada pengeluaran SPHM. Ia juga antara lain merupakan platform strategik bimbingan halal secara bersepadu kepada usahawan untuk mematuhi standard dan piawaian halal yang ditetapkan oleh JAKIM sebelum mengemukakan permohonan SPHM. Langkah ini adalah sebahagian dari usaha yang dilakukan oleh JAKIM ke arah menyahut saranan Kerajaan yang mahu proses kelulusan sijil halal dipercepatkan.

  3. Pelbagai pengisian bermanfaat telah disusun melibatkan sesi ceramah yang menyentuh pelbagai topik perbincangan antaranya permohonan pensijilan halal Malaysia, kesediaan industri untuk melaksanakan pensijilan halal, sistem mengukur tahap kesediaan pensijilan halal syarikat dan pembangunan Halal Management System.

  4. JAKIM ingin menjemput semua pihak berkaitan khusunya para pemain industri untuk hadir dan mengambil peluang dan ruang yang disediakan oleh JAKIM bagi mendapatkan maklumat berkaitan pensijilan halal Malaysia serta menjadikan platform strategik ini sebagai medium untuk mempelajari dan menambah sebanyak mungkin informasi serta pengetahuan dalam one to one session secara percuma.

          Sekian.

DATUK HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD YUSOFF
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

21 Rabiulawal 1445H / 7 Oktober 2023M