jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
PENGERUSI JAWATANKUASA
MEMPERKASA MAHKAMAH SYARIAH
 
BERKENAAN
 
MESYUARAT JAWATANKUASA MEMPERKASA MAHKAMAH SYARIAH
________________________________________________________________
 
1. Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Ogos 2017 telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS) yang bertujuan untuk meningkatkan dan memartabatkan sistem perundangan Syariah secara holistik selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.
 
2. Justeru, mesyuarat pertama Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Induk Memperkasa Mahkamah Syariah telah diadakan pada 13 Oktober 2017 di Kompleks Islam Putrajaya yang dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Prof. Dr Mohd Yusof Noor, Presiden Universiti Islam Malaysia. Mesyuarat ini dihadiri oleh wakil-wakil daripada ahli akademik, ahli Majlis Agama Islam Negeri, pengamal undang-undang dan juga Ketua-Ketua Kluster yang telah dilantik.
 
3. Pada umumnya Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Induk Memperkasa Mahkamah Syariah membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan pemerkasaan Mahkamah Syariah berdasarkan kepada kluster-kluster yang telah ditentukan :-

 

    1. Kluster Pengharmonian antara Undang-Undang Sivil dan Undang-Undang Syariah dipengerusikan oleh YBhg. Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia;
      Perbincangan : Mencari jalan penyelesaian kepada konflik antara Undang-Undang Sivil dan Undang-Undang Syariah ke arah pengharmonian kedua undang-undang berkenaan.
    2. Kluster Cadangan Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dipengerusikan oleh YBhg. Prof. Madya Dr. Shamrahayu binti Ab. Aziz, Pensyarah, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia;
      Perbincangan : Mengenal pasti permasalahan yang berbangkit berhubung dengan cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355] dan undang-undang lain yang berkaitan dan seterusnya mencadangkan apa-apa jalan penyelesaian ke arah menyelesaikan permasalahan tersebut.
    3. Kluster Pengurusan dan Penstrukturan Mahkamah Syariah dipengerusikan oleh Y.A. Prof. Adjung Dato' Dr. Hj Mohd Naim bin Hj Mokhtar, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah;
      Perbincangan : Sistem pengurusan dan penstrukturan Mahkamah Syariah yang lebih mantap, dinamik dan memenuhi kehendak serta keperluan semasa;
    4. Kluster Latihan Hakim dan Pegawai Syariah dipengerusikan oleh YBhg. Tuan Mohamad Shakir bin Abdul Hamid, Ketua Pendaftar, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia;
      Perbincangan : Latihan Hakim dan Pegawai Syariah yang bersistematik ke arah melahirkan Hakim dan Pegawai Syariah yang berpengetahuan tinggi, syakhsiah yang mantap dan tegas dalam melaksanakan tugasnya;
    5. Kluster Pendidikan Undang-undang Syariah dipengerusikan oleh YBhg. Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Bin Nik Mahmood, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; dan
      Perbincangan : Sistem pendidikan undang-undang Syariah yang mantap untuk melahirkan hakim-hakim Syariah, pendakwa-pendakwa Syarie, penguatkuasa-penguatkuasa Syarie, peguam-peguam Syarie dan pentadbir-pentadbir perundangan Islam yang berilmu tinggi dan berdaya saing; dan
    6. Kluster Hal-ehwal berkaitan Peguam Syari’e dipengerusikan oleh YBhg. Tuan Musa bin Awang, Presiden Persatuan Peguam Syarie.
      Perbincangan : Penambahbaikan semua perkara yang berhubungan dengan hal ehwal peguam Syarie ke arah melahirkan peguam Syarie yang mahir dan profesional.
    7. Kluster Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah.
      Perbincangan: Penambahbaikan perkara-perkara yang berhubung dengan Penguatkuasaan dan Pendakwaan Syariah.

 

Sehubungan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Induk Memperkasa Mahkamah Syariah ini telah mengeluarkan arahan kepada semua ketua-ketua kluster agar dapat segera menggerakkan kluster masing-masing demi memastikan kejayaan penubuhan JKMMS.
 
Kluster pertama yang akan bersidang ialah Kluster Cadangan Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) iaitu bakal di adakan pada 19 Oktober 2017. Jemputan telah dikeluarkan kepada semua ahli kluster termasuk wakil bagi setiap parti politik untuk turut sama memberi input dan pandangan masing-masing. Semoga semua pihak yang dijemput dapat hadir dan menjadikan kluster ini sebagai medan yang berkesan untuk menyelesaikan sebarang konflik yang timbul.
 
Di samping itu, kluster-kluster yang lain juga akan bersidang dalam masa yang terdekat demi merealisasikan hasrat murni Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS).
 
Sekian
 
Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor
Pengerusi Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah
15 Oktober 2017