Jakim logo white small
 
AMANAT TAHUN BAHARU 2019
KETUA PENGARAH JAKIM
___________________________________________
 
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang membawa rahmat ke seluruh alam. Firman Allah SWT dalam surah Al-Anbiya' ayat 107 : “Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk membawa rahmat bagi sekelian alam”.
 
Tahun 2018 bakal melabuhkan tirainya dan tahun 2019 bakal menjelma. Semoga kita diberi peluang dan kekuatan untuk meneruskan perjuangan demi memartabatkan syiar Islam di bumi tercinta ini. Harapan dan doa agar segala usaha dan amalan kita sebelum ini dihitung dan diterima sebagai bekalan kita di akhirat nanti.
 
Dalam tempoh enam bulan terakhir lalu, kita cuba memahami naratif pengurusan hal ehwal Islam dalam dimensi baharu. Islam yang perlu kita terjemahkan dalam konteks yang lebih inklusif dan bukannya eksklusif. Itulah manifestasi dari ayat 107 surah Al-Anbiya' yang saya titipkan di awal catatan ini.
 
Saya berazam untuk membuka lembaran baharu tahun 2019 ini dengan semangat dan azam untuk memastikan nilai-nilai inklusif Islam dapat disebarkan kepada semua melalui pelbagai cara. Justeru, tagline pengurusan yang saya perkenalkan sejak menjadi Ketua Pengarah "Melebar Risalah Menyantuni Umah" akan terus dibudayakan dalam JAKIM demi kebaikan umah sejagat.
 
Dalam pada itu, saya mempunyai falsafah dan keyakinan bahawa apa sahaja idea, gagasan mahupun perancangan, kita tidak akan mampu mencapai matlamat dengan jaya sekiranya ia hanya bergerak secara bersendirian atau dengan istilah 'work in-silo'. Semangat bekerja sebagai satu pasukan adalah penting bagi mencapai impak yang optimum.

Justeru, saya percaya bahawa falsafah pengurusan 'growth through collaboration' perlu dibudayakan dalam organisasi seperti JAKIM.
 
Sebagai Ketua Pengarah JAKIM, saya menyeru kepada rakyat Malaysia berbilang kaum supaya kita terus mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan hidup di negara ini. Mengekalkan ketenteraman awam adalah menjadi tanggungjawab bersama. Sesungguhnya, situasi negara yang aman menjamin kesinambungan hidup yang sempurna.
 
Saya juga ingin menitipkan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak kerajaan khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana di penghujung tahun 2018 telah meluluskan cadangan penyusunan semula struktur organisasi JAKIM. Ini sudah tentu akan memperkemaskan lagi pentadbiran dan pengurusan fungsi JAKIM agar dapat dilaksanakan dengan lebih efektif dan efisien. Kecemerlangan JAKIM menjadi pemangkin kepada keutuhan syiar Islam di Malaysia.
 
Keputusan kerajaan menstruktur semula agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan meletakkan enam agensi di bawah penyelarasan JAKIM iaitu JAWHAR, IKIM, YADIM, YaPEIM, Yayasan Waqaf Malaysia dan TV Al-Hijrah sudah pasti akan lebih meningkatkan fokus perkhidmatan agensi agama di peringkat persekutuan. Inisiatif ini bagi memastikan fungsi agensi agama persekutuan dapat diselaras dengan lebih kemas dan memastikan setiap sumber yang ada dapat dimanfaatkan secara maksima demi kesejahteraan rakyat dan negara. Inilah 'growth through collaboration' yang saya maksudkan.
 
JAKIM juga akan terus memperkasakan kegiatan dakwah Islamiyyah yang lebih strategik, menepati kumpulan sasaran dan selaras dengan pemahaman konsep Rahmatan Lil A’lamin, Maqasid Syariah dan Model Malaysia (Fiqh Malizi). Usaha ini juga perlu melibatkan pelbagai pihak untuk menjayakannya. Penglibatan rakan strategik yang terdiri dari pelbagai pihak termasuk pihak civil society akan diberi keutamaan. Justeru, saya membuka pintu JAKIM dengan seluas-luasnya untuk menjalinkan kerjasama strategik dengan sesiapa sahaja bagi mencapai cita-cita ini.
 
Bersempena dengan kehadiran tahun baharu 2019 ini, saya menyeru kepada semua pihak agar dapat sama-sama kita memastikan tahun 2019 ini adalah tahun yang produktif dan sentiasa bersedia untuk berkorban masa, tenaga dan buah fikiran demi kebaikan negara tercinta.
 
Harapan dan cita-cita kita semoga Islam yang dipraktikkan di Malaysia sentiasa menjamin kesejahteraan hidup masyarakat berbilang kaum dan agama. Untuk mencapai cita-cita murni ini, rakyat Malaysia hendaklah bersedia untuk keluar dari kebiasaan (break the pattern) dan beranjak ke satu paradigma baharu dalam menghasilkan budaya hidup yang cemerlang demi keutuhan agama, bangsa dan negara.
 
Akhir kata, Selamat Maju Jaya dan Selamat Tahun Baharu 2019
 
Sekian
 
Datuk Mohamad Nordin bin Ibrahim
Ketua Pengarah JAKIM
Kompleks Islam Putrajaya
31 Disember 2018M
23 Rabi’ulakhir 1440H