jata_negara-small_3.png  logo phg 
 

KENYATAAN MEDIA BERSAMA

 YB MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)

 DAN

 YAB MENTERI BESAR NEGERI PAHANG

 BERKENAAN

 MAJLIS TILAWAH DAN HAFAZAN AL-QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1445H/2024M (MTHQK)

 
Bil. 18/2024


1. Negeri Pahang akan menjadi tuan rumah kepada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1445H/2024M (MTHQK) yang dijadualkan berlangsung selama enam (6) hari bermula pada 23 hingga 28 Mei 2024 bersamaan 14 hingga 19 Zulkaedah 1445H (Khamis hingga Selasa). Majlis akan berlangsung di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Hj Ahmad Shah, Kuantan, Pahang.

2. MTHQK adalah program tahunan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dianjurkan bersama dengan kerajaan-kerajaan negeri. Penganjuran MTHQK pada tahun ini dibuat bersama Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Agama Islam Pahang. Di kesempatan ini JAKIM ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang atas kesudian menjadi tuan rumah kepada acara MTHQK 2024.

3. Perasmian MTHQK 2024 akan disempurnakan oleh YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 23 Mei 2024 (Khamis) jam 9.00 malam di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Hj Ahmad Shah, Kuantan, Pahang. Manakala Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah pula akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang pada 28 Mei 2024 (Selasa), 9.00 malam di tempat yang sama.

4. MTHQK 2024 melibatkan penyertaan seramai 110 peserta daripada seluruh negeri. Secara umumnya, setiap negeri diwakili oleh lapan (8) peserta iaitu dua (2) peserta dalam kategori Tilawah Al-Quran manakala enam (6) peserta dalam kategori Hafazan Al-Quran. Penglibatan seluruh negeri dalam pertandingan tahun ini menjadikan jumlah peserta Tilawah adalah seramai 29 orang; iaitu 14 orang Qari dan 14 orang Qariah dan seorang Johan Menunggu Qariah.

5. Hafazan pula bakal menyaksikan seramai 81 orang peserta, dengan para huffaz lelaki dan wanita akan bertanding dalam tiga (3) kategori seperti berikut iaitu:

Kategori Pertama = 10 Juzuk (14 lelaki dan 14 wanita)
Kategori Kedua = 20 Juzuk (14 lelaki dan 13 wanita)
Kategori Ketiga = 30 Juzuk (14 lelaki dan 12 wanita)

Kesemua peserta berumur di antara 14 hingga 25 tahun. Penyertaan pada tahun ini juga disemarakkan lagi dengan keunikan penyertaan oleh dua (2) pasangan adik beradik bagi kategori Hafazan Al – Quran masing – masing dari negeri Kedah dan Pahang.

6. Barisan Jemaah Hakim telah dilantik melibatkan seramai 12 orang hakim bagi kategori Tilawah Al-Quran dan 14 orang hakim bagi kategori Hafazan Al-Quran serta dua (2) orang Timbalan Pengerusi, dua (2) orang Setiausaha dan seorang (1) Penolong Setiausaha. Jemaah Hakim akan dipengerusikan oleh YBhg. Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM. Aspek-aspek bacaan yang akan dinilai oleh para hakim ini ialah tajwid, kelancaran bacaan (fasohah), tarannum, hafaz lancar dan suara.

7. Johan peserta Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan tahun ini akan mewakili Malaysia pada Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang akan diadakan pada 5 hingga 12 Oktober 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

8. Penganjuran MTHQK oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri setiap tahun merupakan satu manifestasi komitmen kedua-dua pihak untuk terus memperkasakan syiar Islam di negara ini. Penganjurannya secara menzahirkan kerjasama secara kolektif antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam meneruskan usaha menerapkan budaya minat membaca terhadap Al-Quran, memahami intipatinya serta mengaplikasikan tuntutan dan menjauhi larangan Yang Maha Esa. Kerjasama ini juga merupakan manifestasi usaha memartabatkan Islam sebagai Agama bagi Persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Pada masa yang sama, agenda pembangunan ummah dan pembinaan generasi Al-Falah yang selari dengan aspirasi Malaysia MADANI sebagaimana digagaskan oleh YAB Perdana Menteri dapat terus diperkasakan.

9. Penganjuran MTHQK tahun ini adalah kali yang ke-66 semenjak pertama kali dianjurkan pada 1960. Dengan sejarah yang panjang ini, JAKIM komited untuk memastikan MTHQK kekal relevan dan segar bagi menarik minat semua golongan masyarakat Islam Malaysia.

10. Dalam hal ini, JAKIM akan terus memastikan prestij dan kualiti penganjuran MTHQK sentiasa dipertingkatkan selaras dengan perubahan dan kehendak semasa. Semenjak tahun 2020, penganjuran MTHQK telah pun menggunapakai teknologi-teknologi terkini untuk melancarkan pengurusan MTHQK serta memberikan lebih daya tarikan kepada acara ini. Beberapa penambahbaikan dalam format pertandingan sebelum ini diteruskan dalam MTHQK 2024 antaranya dengan mewajibkan peserta Tilawah Al-Quran membaca dua (2) lagu wajib secara berturut-turut dan menyelesaikan bacaan dengan sekurang-kurangnya empat maqamat dalam masa 10 minit. Untuk peserta Hafazan Al-Quran pula mereka diwajibkan untuk menghabiskan sekurang-kurangnya 10 baris dalam masa 2 minit.

11. Bagi memberikan lebih cabaran kepada para peserta yang bertanding, MTHQK pada tahun ini juga menyaksikan pembaharuan yang mana bagi kategori Hafazan Al-Quran, soalan akan dikemukakan tanpa disebut atau dinyatakan nombor ayat, nama surah, juzuk dan muka surat seperti kelazimannya.

12. Sebagai penghargaan kepada peserta / pemenang yang mana selain hadiah dalam bentuk wang tunai, wang tunai (haji), piala, cenderamata dan sijil kepada pemenang, setiap peserta juga menerima wang tambahan sebanyak RM1,000.000 sumbangan dari Kerajaan Negeri Pahang. MTHQK 2024 juga menyaksikan peningkatan sokongan pelbagai pihak dalam penganjurannya dengan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) telah berbesar hati untuk juga menaja hadiah (tambahan) kepada pemenang-pemenang, iaitu berupa bar emas YaPEIM seberat 5 gram kepada johan semua kategori tilawah dan hafazan.

13. Tajaan hadiah (tambahan) daripada negeri Pahang dan YaPEIM diharap dapat meningkatkan motivasi dan semangat para peserta untuk memberikan prestasi terbaik mereka dalam MTHQK 2024. Ia memperlihatkan wujudnya satu bentuk kolaborasi erat antara Kerajaan Negeri-Kerajaan Persekutuan, dan antara Agensi-agensi Agama di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk bersama-sama menyumbangkan peranan bagi meningkatkan lagi prestij penganjuran MTHQK.

14. JAKIM dengan ini menyeru dan menjemput orang ramai hadir menyaksikan dan memeriahkan MTHQK 2024 di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Hj Ahmad Shah, Kuantan, Pahang bermula 23 hingga 28 Mei 2024 dari jam 9.00 pagi hingga 6 11.00 malam. Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan 2024 juga akan bersiaran secara langsung di saluran TV1 RTM, TV Al-Hijrah, radio-radio milik RTM, radio IKIM FM, WEB TV JAKIM (www.jakim.tv) dan di akaun-akaun media sosial rasmi JAKIM.

15. JAKIM juga memohon jasa baik rakan-rakan media untuk mewarwarkan penganjuran majlis ini dan hadir membuat liputan acara seperti tarikh dan masa yang dinyatakan di atas.

Sekian, terima kasih.

YB. SENATOR DATO' SETIA DR. HAJI MOHD NA'IM BIN MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

YAB DATO' SRI HAJI WAN ROSDY BIN WAN ISMAIL
Menteri Besar Negeri Pahang