logo jheaij  jata_negara-small_4.png 
 

KENYATAAN MEDIA BERSAMA

KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
DAN
PENGARAH
JABATAN AGAMA ISLAM NEGERI JOHOR (JAINJ)

BERKENAAN

PROGRAM HALAL ON TRACK 2024 @ JOHOR

 
Bil. 20/2024



1. Sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan menganjurkan Program Halal on Track (HOT) pada 4 Jun 2024 di Persada International Convention Centre, Johor Bahru bermula pada jam 7.30 pagi hingga 4.30 petang.

2. HOT telah dijadikan program tahunan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bermula dari tahun 2023. Bermula tahun ini, HOT akan dianjurkan secara bersama dengan penglibatan negeri-negeri. Pada kali ini, Kerajaan Negeri Johor melalui Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan menjadi tuan rumah penganjuran HOT.

3. Program HOT@Johor disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan dihadiri oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Bin Ghazi, Menteri Besar Johor serta YB Senator Dato’ Setia Dr. Hj Mohd Na’im bin Hj. Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

4. Penganjuran HOT merupakan manifestasi komitmen kerajaan melalui JAKIM dan negeri-negeri untuk memperkasa pensijilan halal Malaysia menerusi pelbagai kaedah dan pendekatan yang lebih mesra industri. HOT merupakan program yang diilhamkan sendiri oleh YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Bin Hamidi sebagai satu platform strategik kepada usahawan bagi memastikan para usahawan bersedia dengan sebaiknya sebelum mengemukakan permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia seterusnya memastikan proses pensijilan berjalan dengan lancar.

5. Halal on Track disediakan sebagai satu platform yang boleh memberi pendedahan kepada usahawan berkenaan pensijilan halal Malaysia. Ia dibangunkan sebagai satu medium untuk mempersiapkan usahawan ke arah pensijilan halal Malaysia dengan cara menggabungkan pelbagai penawaran perkhidmatan oleh pihak-pihak berkepentingan pensijilan halal Malaysia di bawah satu bumbung. Langkah awal ini diharapkan dapat membantu usaha mempercepatkan proses pengurusan pensijilan halal Malaysia. Antara objektif yang disasarkan melalui penganjuran HOT adalah:
i.   meningkatkan pemahaman usahawan terhadap proses pensijilan;
ii. meningkatkan kesedaran usahawan terhadap kepentingan persediaan awal sebelum membuat permohonan Sijil Pengesahan
     Halal Malaysia (SPHM);dan
iii. menjadi platform bimbingan dan fasilitasi halal kepada usahawan ke arah pensijilan halal Malaysia.

6. Program ini menjangkakan penglibatan 1,500 orang usahawan pelbagai kategori industri, agensi, institusi dan kementerian yang berkaitan pembangunan usahawan untuk memastikan proses mempersiapkan diri usahawan ke arah pensijilan halal Malaysia berjalan lancar khususnya dalam meningkatkan kefahaman para usahawan berkenaan keperluan, proses dan prosedur permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bermula daripada peringkat persediaan (pra pensijilan) hingga ke peringkat pengeluaran SPHM.

7. Pada kali ini, kaunter pendaftaran sistem MYeHALAL akan dibuka sepanjang hari di reruai JAKIM bagi memudahkan para usahawan membuka akaun MYeHALAL sebelum membuat permohonan SPHM. Selain itu, kaunter bimbingan dan fasilitasi halal Malaysia akan turut dibuka kepada pihak usahawan yang akan dikendalikan sendiri oleh pegawai-pegawai berpengalaman daripada JAKIM dan JAINJ. Perkongsian maklumat Pensijilan Halal secara terbuka melalui sesi Halal Talk berkaitan permohonan SPHM, bimbingan dan insentif usahawan oleh MARA, pembiayaan Industri Halal oleh YaPIEM diikuti sistem sokongan industri kotej oleh Bank Islam antara sesi perkongsian yang akan memberikan manfaat kepada peserta yang hadir. HOT @ Johor kali ini juga akan memberi ruang kepada 20 orang usahawan halal untuk mempamerkan produk halal masing-masing selain penyertaan daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan untuk berkongsi dan memberikan informasi mengikut kepakaran dan perkhidmatan yang tersedia.

8. JAKIM dan JAINJ dengan ini menyeru dan menjemput semua pihak industri serta kementerian dan agensi pembangunan usahawan di Malaysia untuk sama-sama hadir dan merasai sendiri pengalaman secara langsung bagi mendapatkan bimbingan terus daripada pihak berkuasa berwibawa pensijilan halal Malaysia. HOT@Johor akan bersiaran secara langsung di akaun-akaun media sosial rasmi JAKIM.

9. JAKIM juga memohon jasa baik rakan-rakan media untuk mewar-warkan penganjuran program ini dan hadir membuat liputan acara seperti tarikh dan masa yang dinyatakan di atas.


Sekian, terima kasih.

DATIN PADUKA HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD YUSOFF
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
31 Mei 2024