jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
YB MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
 
BERKENAAN
 
SEMINAR GAGASAN RAHMATAN LIL ALAMIN
___________________________________________________
 
1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mengadakan Seminar Gagasan Rahmatan Lil Alamin pada 14 Mac 2019 di Institut Latihan Islam Malaysia, Bangi, Selangor.
 
2. Pendekatan Rahmatan lil ‘Alamin ini selaras dengan ajaran yang termaktub dalam al-Quran dan hadith Rasulullah SAW. Islam adalah bersifat sejagat dan sebagai rahmat untuk seluruh alam.
 
3. Gagasan Rahmatan lil ‘Alamin adalah manifestasi kepada prinsip utama pengurusan hal ehwal Islam yang dilaksanakan dalam kerangka Maqasid Syariah bagi melahirkan Model Malaysia sebagai dasar serta hala tuju Malaysia Baharu.
 
4. Justeru, seminar ini dirangka bagi memberi memberi pemahaman berkaitan dasar-dasar Islam negara yang diperkenalkan oleh Kerajaan pada hari ini dengan menjelaskan berkaitan pendekatan gagasan Rahmatan Lil ‘Alamin mengikut acuan Malaysia.
 
5. Konsep Malaysia Negara Rahmah amat berkait rapat dengan maslahah yang menjadi teras kepada Maqasid Syariah kerana ia (maslahah) bersesuaian untuk semua manusia pada setiap tempat dan zaman; sama ada untuk orang Islam atau bukan Islam.
 
6. Ini berasaskan konsep Islam rahmat untuk sekalian alam dan syariatnya adalah selari dan menepati fitrah manusia dan menjadi tonggak kepada kesejahteraan manusia agar kemaslahatan rakyat dan negara terjamin.
 
7. Malaysia Negara Rahmah juga terangkum di dalamnya –
Islam sebagai rahmat bagi sekalian alam. Membawa keamanan dan kemakmuran dalam masyarakat;
Pentadbiran berasaskan Maqasid Syariah yang menekankan aspek penjagaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta;
 
8. Saya juga memperkenalkan Model Malaysia yang sesuai dengan keadaan (waqi‘), adat dan budaya bangsa Malaysia tanpa meminggirkan asas-asas Islam.
 
9. Oleh itu, JAKIM selaku agensi Islam di bawah seliaan saya sentiasa berusaha mempergiatkan lagi usaha dalam memastikan dasar-dasar Islam Negara seperti Rahmatan lil Alamin, Maqasid Syariah, Model Malaysia dan pemahaman berterusan mengenai Malaysia Negara Rahmah kepada penjawat awam serta masyarakat awam terus disampaikan dengan lebih aktif lagi.
 
10. Promosi berkaitan gagasan dan dasar-dasar Islam negara ini terus digiatkan agar kefahaman mengenainya selari dan sepadu antara pucuk pimpinan dan masyarakat awam.
 
11. Harapan saya agar segala objektif seminar ini dapat tercapai ke arah membuktikan bahawa Malaysia adalah negara unik dengan kepelbagaian etnik, agama dan budaya yang harmonis dan terbuka bertepatan dengan ciri-ciri yang ada pada Islam yang mengiktiraf kepelbagaian dalam kehidupan dan sesungguhnya Islam adalah agama universal yang membawa rahmat kepada seluruh alam.
 
Sekian, terima kasih.
 
YB DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
14 Mac 2019M
7 Rejab 1440H