jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

MAJLIS PELANCARAN PROGRAM RAHMAH PERINGKAT KEBANGSAAN
DAN PENYAMPAIAN BANTUAN PONDOK DAN TAHFIZ
DARIPADA KERAJAAN PERSEKUTUAN KEPADA KERAJAAN NEGERI
____________________________________________________________________________________________________

JAKIM mengadakan Majlis Pelancaran Program RAHMAH Peringkat Kebangsaan dan Penyampaian Bantuan Pondok dan Tahfiz Daripada Kerajaan Persekutuan Kepada Kerajaan Negeri pada hari ini 24 Mac 2019 jam 9.00 malam di Dataran Medan Bandar Alor Setar Kedah. Majlis ini dilancarkan secara bersama oleh YAB Dato' Seri Mukhriz bin Tun Mahathir, Menteri Besar Kedah dan YB Datuk Seri Dr Mujahid bin Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
 
Konsep Rahmatan Lil Alamin yang dilancarkan pada hari ini adalah manifestasi gagasan rahmatan lil alamin yang diterapkan oleh kerajaan pada hari ini. Pendekatan ini juga telah mendapat perhatian Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Parlimen Ke-14 pada 11 Mac yang lalu.
 
Pelaksanaan nilai-nilai rahmah diterjemahkan melalui program pada hari ini di negeri Kedah, antaranya program Rakan Masjid dan Hospital (RAMAH) di Hospital Jitra. YB Menteri telah meluangkan masa untuk melawat ke wad-wad terpilih termasuk Wad Kanak-kanak dan Wad Lelaki dan Wanita Dewasa. Di samping menyampaikan cenderamata kepada pesakit, YB Menteri juga turut mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kesihatan kepada mereka dan semangat kepada ahli keluarga.
 
Rahmah juga diisi dengan mengadakan ziarah ke masjid yang mempunyai ciri-ciri rahmah. Masjid al-Fateh Tanjung Pauh, Jitra dipilih untuk diziarahi oleh YB Menteri dengan mengadakan Bicara Santai bersama ahli kariah masjid dan seterusnya menyampaikan sumbangan kebajikan kepada para penduduk kampung dan berakhir dengan Kenduri Sekampung.
 
Sempena Pelancaran Program Rahmah Peringkat Kebangsaan ini, JAKIM turut mengadakan Majlis Penyerahan Bantuan Pondok dan Tahfiz daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri. YB Datuk Seri Dr Mujahid bin Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri mewakili Kerajaan Persekutuan telah menyerahkan bantuan berjumlah RM71.8 juta kepada Pengarah-pengarah Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) mewaki Kerajaan Negeri seluruh Malaysia. Bantuan ini akan memberi manfaat kepada 908 buah tahfiz dan 158 buah pondok di seluruh negara.
 
Sesungguhnya program ini sebagai satu usaha kerajaan untuk mempromosikan nilai dan budaya Islam melalui pendekatan Rahmatan lil-alamin dan maqasid syariah berdasarkan ajaran Islam yang sebenar yang diterjemahkan melalui tingkah laku dan keperibadian unggul rakyat Malaysia. Seterusnya usaha ini mampu menjadikan Malaysia sebagai model negara Islam berbilang kaum yang boleh dicontohi dunia luar.
 
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri Kedah yang sudi menjadi tuan rumah bagi acara Majlis Pelancaran tersebut. Semoga kita dilimpahi rahmat dan hidayah Allah SWT.
 
Sekian
 
DATUK MOHAMAD NORDIN BIN IBRAHIM
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
24 Mac 2019