jata negara small
 

KENYATAAN MEDIA

 

KETUA PENGARAH

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

PROGRAM “ANAK MUDA HERO KELUARGA” SEMPENA SAMBUTAN HARI BAPA 2024

 
Bil. 21/2024


  1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Pertubuhan IKRAM Malaysia hari ini menganjurkan Program Anak Muda Hero Keluarga sempena sambutan Hari Bapa 2024 bertempat di Dewan Azman Hashim, UTM Kuala Lumpur. Program ini turut mendapat kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN), dan Better Dads Malaysia.
  2. Program ini melibatkan lebih 400 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar pelbagai IPTA/IPTS, anak-anak muda dari pelbagai NGO dan komuniti sekitar Lembah Klang, serta Angkatan Tentera Malaysia.
  3. Hari Bapa adalah hari istimewa yang didedikasikan untuk menghormati bapa dan peranan mereka dalam membentuk keluarga serta masyarakat yang sihat dan kukuh. Lazimnya pada program sambutan Hari Bapa kita akan meraikan para bapa, tetatpi istimewanya pada kali ini JAKIM bawakan program khas untuk pelapis ketua keluarga, dan anak-anak muda.
  4. Melalui program "Anak Muda Hero Keluarga" ini, hasrat JAKIM agar sambutan Hari Bapa bukan sahaja bertujuan untuk meraikan para bapa tetapi juga untuk mendidik dan menyedarkan anak-anak muda, bakal ketua keluarga, mengenai tanggungjawab mereka di masa hadapan, dan sifat-sifat lelaki sebagai qawwam, iaitu pemimpin dan pelindung keluarga, yang mana perkara ini perlu difahami oleh semua bangsa dan agama, baik lelaki mahupun wanita.
  5. Di samping itu, program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai pentingnya peranan bapa dalam keluarga, selain memberi penghargaan terhadap usaha dan pengorbanan bapa dalam mendidik dan membimbing generasi muda, serta menggalakkan anak muda untuk mengambil inspirasi daripada tokoh-tokoh bapa sebagai model yang baik.
  6. Penganjuran program ini menunjukkan komitmen Kerajaan khususnya agensi Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri, berganding bahu bersama agensi-agensi kerajaan, IPT dan pertubuhan bukan kerajaan, dalam memupuk dan mendidik generasi muda tentang tanggungjawab dan peranan mereka sebagai hero keluarga kelak. Program ini juga merupakan antara usaha berterusan JAKIM bagi mencegah gejala sosial, krisis akhlak dan keruntuhan institusi keluarga.
  7. Semoga segala perkongsian melalui sesi “Chit Chat with Influencers: Future Family Hero” dan “Siapa Hero Keluarga?” dapat dimanfaatkan semaksima mungkin oleh para peserta dalam memupuk kefahaman dan kesedaran mereka mengenai peranan penting ketua keluarga, serta memperkukuh nilai-nilai kekeluargaan positif dalam masyarakat.

Sekian, terima kasih.

DATIN PADUKA HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD YUSOFF
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
29 Jun 2024