jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
 
BERKENAAN
 
PELANCARAN PROGRAM RAKAN MASJID HOSPITAL (RAMAH)
__________________________________________________________
 
1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengadakan Program Rakan Masjid Hospital (RAMAH) pada 8 April 2019 bertempat di Auditorium Hospital Putrajaya. Program yang dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini merupakan hasil persetujuan yang telah dicapai bersama antara JAKIM dan KKM sejak awal tahun ini. Program RAMAH ini adalah manifestasi Program RAHMAH yang telah dilancarkan di peringkat Kebangsaan oleh YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 24 Mac 2019 di Alor Setar, Kedah.
 
2. Program RAMAH yang dilancarkan pada hari ini merupakan program rintis dengan menggabungkan kerjasama antara Masjid Utama di bawah JAKIM dengan hospital iaitu Masjid Putra dengan Hospital Putrajaya, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dengan Institut Kanser Negara (IKN) dan Masjid Negara dengan Hospital Kuala Lumpur. Program ini akan dilebarkan ke seluruh negara dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri-negeri melalui penglibatan Masjid Daerah dan Hospital Daerah di setiap negeri.
 
3. Pendekatam program ini adalah sebahagian dari usaha untuk mengaplikasikan pendekatan Corporate Social Responsibility (CSR) berdasarkan Maqasid Syariah melalui penjagaan nyawa dan akal (Hifz al-Nafs dan al-'Aql). Ia juga sebagai usaha untuk mempamerkan Islam sebagai agama yang membawa nilai-nilai rahmah kepada sekalian alam termasuk menyantuni para pesakit, keluarga dan persekitaran.
 
4. Selain itu, program ini juga sebagai salah satu usaha mempelbagaikan aktiviti masjid bagi mengetengahkan peranan dan fungsi masjid yang memberi manfaat kepada pihak-pihak yang memerlukan khususnya kepada pesakit, ahli keluarga dan warga hospital.
 
5. Pada peringkat ini, seramai 200 orang sukarelawan yang dikenali sebagai Sukarelawan RAHMAH yang terdiri daripada ahli jemaah masjid, Badan Kebajikan Hospital, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Persatuan Mahasiswa dan juga orang perseorangan telah dilibatkan untuk menjayakan setiap aktiviti yang dirancang berdasarkan kepada garis panduan yang telah dipersetujui bersama oleh pihak penganjur. Para sukarelawan akan terlibat dalam memberikan perkhidmatan seperti berikut:
 
a) Ziarah kasih sayang
Sesi lawatan ke hospital bagi tujuan spiritual care kepada pesakit dan penjaga. Aktiviti ini diharap akan dapat memberi sokongan moral kepada pesakit, ahli keluarga dan petugas di hospital.
 
b) Bimbingan Ibadah Pesakit
i. Memberi bimbingan melaksanakan ibadah solat pesakit,seperti wuduk, tayamum, solat,doa dan zikir. Sukarelawan perlu sentiasa bersedia pada setiap waktu solat, makan dan sesi persiapan diri bagi membantu pesakit yang memerlukan.
ii. Menyantuni kelahiran bayi dengan Azan & Iqamah atas permintaan keluarga.
iii. Meraikan kelahiran bayi dengan tahnik atas permintaan keluarga
iv. Memaklumkan kepada pesakit yang tiada harapan sembuh mengenai keperluan menguruskan harta pusaka dan hibah.
 
c) Spiritual Care dan Kerohanian Pesakit
i. Memberi sokongan moral kepada pesakit dan khidmat nasihat kerohanian
ii. Membantu mewujudkan emosi positif kepada pesakit
iii. Mendoakan pesakit dengan harapan supaya pesakit diberi kesembuhan;
iv. Membantu pesakit yang tiada harapan sembuh dalam menghadapi kematian.
v. Menyantuni pesakit nazak dan kematian dengan ucapan Syahadah dan bacaan Al-Quran.
 
d) Menyediakan bahan-bahan bacaan yang bersesuaian di wad
 
e) Sokongan sosial dan kebajikan
 
 
6. Secara umumnya, inisiatif penganjuran Program Rakan Masjid Hospital (RAMAH) adalah berasaskan kepada objektif berikut :-
 
i. Meningkatkan keprihatinan dan komitmen CSR bagi menambah baik kualiti dan nilai hidup pesakit, keluarga dan persekitaran;
ii. Memperkasakan peranan masjid dan hospital serta melalui penglibatan para Sukarelawan RAHMAH;
iii. Mewujudkan hubungan dan kerjasama lebih erat dan berterusan ke arah melebarkan risalah dan menyantuni ummah khususnya dalam kalangan pesakit dan warga hospital.
 
 
7. Program rintis yang diadakan pada hari ini bermula dengan sesi ceramah yang disampaikan oleh YBhg Tuan Haji Ikmal Zaidi bin Hashim dari Jabatan Tahfiz al Quran dan Qiraat, Fakulti Pengajian Peradaban Islam, KUIS dengan tajuk "Penjiwaan Rahmah Insani: Masjid ke Hospital". Manakala sesi kedua adalah Sesi Sharing Knowledge dengan tajuk "Menyantuni Pesakit" yang disampaikan oleh YBhg Ustaz Mohd Rosli bin Wahab, Pegawai Kader JAKIM Unit Hal Ehwal Islam Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
 
8. Sehubungan itu, dipohon jasa baik pihak media untuk mewar-warkan penganjuran program ini kepada masyarakat umum.
 
Sekian, terima kasih
 
 
DATUK MOHAMAD NORDIN BIN IBRAHIM
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
2 Syaaban 1440H
8 April 2019M