jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERHUBUNG

KENYATAAN NUMAN AFIFI DAN 41 NGO
___________________________________________________________
 
1. JAKIM ingin merujuk kepada kenyataan Numan Afifi sewaktu ucapannya di Semakan Berkala Sejagat (UPR) Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) di Geneva, Mac lalu. Ia berikutan dakwaan beliau yang mendakwa program Mukhayyam bersama komuniti LGBT yang beragama Islam, yang dianjurkan oleh JAKIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri sebagai ‘State Sponsored Violence’ dengan menggunakan pendekatan ‘corrective therapy’.
 
2. Meskipun pihak MACSA (Malaysia Alliance of Civil Society Organisation) telah menjelaskan bahawa dakwaan oleh saudara Numan menyimpang daripada kebenaran, namun kenyataan balas oleh 41 NGO yang menyokong dakwaan saudara Numan Afifi, telah menampilkan bukti seolah-olah beberapa program dan inisiatif yang dianjurkan oleh JAKIM dilihat tidak bersesuaian untuk membantu komuniti LGBT yang ingin berhijrah dan dalam usaha menangani isu LGBT. Ia termasuklah program Mukhayyam bersama komuniti LGBT, seminar penerangan kepada masyarakat bagi memberi panduan untuk memahami isu LGBT dan menangani dengan pendekatan yang tepat dan berhikmah, e-book Panduan Hijrah Diri dan risalah ‘Memahami LGBT Dari Perspektif Seorang Muslim’serta Pelan Tindakan Menangani Gejala Sosial Perlakuan LGBT 2017-2021 yang melibatkan kerjasama strategik bersama agensi yang berkenaan.
 
3. JAKIM ingin menjelaskan bahawa program Mukhayyam bersama komuniti LGBT yang beragama Islam sebagai suatu inisiatif untuk membantu mereka dalam usaha menjalani kehidupan yang selari dengan tuntutan Syariat. Ia berdasarkan pendirian yang diambil oleh JAKIM berhubung isu LGBT, iaitu tidak bersetuju dengan perlakuan LGBT, namun tidak menafikan hak pelaku untuk dibimbing dan dinasihati. Ia bertepatan dengan fungsi JAKIM sebagai agensi pusat dalam melaksanakan program pembangunan ummah dan penghayatan Islam. Selain itu, ia juga selaras dengan prinsip Maqasid Syariah di antaranya untuk menjaga keturunan, supaya keluarga yang dibina berasaskan konsep asas keluarga iaitu di antara lelaki dan perempuan. Selain itu, pendekatan JAKIM ini selari dengan pendekatan Rahmatan lil ‘Alamin yang merupakan dasar kerajaan hari ini. Meskipun, JAKIM menyantuni komunti LGBT yang ingin mendapatkan hak beragama, dibimbing dengan pendekatan yang berhikmah dan rahmah, ia tidak bermaksud JAKIM berkompromi dengan perlakuan yang bercanggah dengan panduan Syariat.
 
4. Di antara objektif program Mukhayyam yang dijalankan oleh JAKIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri ialah :
 
i. Membimbing dan memberikan kesedaran kerohanian / spritual terhadap golongan LGBT melalui pendekatan agama (Tauhid) untuk mereka menghadapi cabaran hidup serta kembali kepada kehidupan fitrah.
ii. Memberikan pendedahan dan bimbingan ilmu fardu ain kepada golongan ini bagi melaksanakan tuntutan agama.
iii. Memberikan pengetahuan dan kesedaran berkaitan kesihatan khususnya HIV dan lain-lain penyakit berjangkit.
iv. Memberikan bimbingan motivasi serta kemahiran mempertingkatkan jatidiri.
v. Menghapuskan stigma dan diskriminasi antara komuniti ini dengan golongan agama serta masyarakat sekeliling.
 
 
5. Pengisian program Mukhayyam ini adalah berteraskan 5 elemen atau komponen iaitu Kesedaran Kerohanian / Spritual, Pengetahuan Asas Agama seperti Akidah dan Fardu Ain, Motivasi Diri dan Kerjaya, Kesedaran Kesihatan seperti pengetahuan mengenai virus HIV, penyakit berjangkit dan lain-lain, serta Aktiviti Kecergasan Fizikal. Walaubagaimanapun, penekanan utama diberikan terhadap elemen bimbingan dan kesedaran kerohanian seperti slot Mengenali Kelebihan Manusia, Matlamat dan Pengakhiran Kehidupan, Iktibar Kematian, serta Terapi Zikir dan Solat.
 
6. Pada masa tertentu, komuniti LGBT juga dibawa untuk solat berjemaah bersama masyarakat serta melakukan aktiviti khidmat sosial sepanjang program bagi mengikis stigma di antara komuniti LGBT dan masyarakat. Para peserta program Mukhayyam ini tidak pernah dipaksa untuk hadir dan untuk berubah, sebaliknya para peserta sentiasa diberikan bimbingan mengikuti slot yang disediakan secara sukarela. Bahkan, tiada unsur keganasan dan pendekatan kekerasan digunakan sebagaimana yang didakwa oleh saudara Numan Afifi dan 41 NGO berkenaan.
 
7. JAKIM juga bersikap objektif dengan tidak menaruh prejudis ataupun menghukum kepada komuniti, bahkan ingin mengajak sesiapa sahaja di kalangan komuniti LGBT khususnya yang beragama Islam yang mahu memperbaiki kehidupannya, boleh menyertai mana-mana program dan ruang yang telah disediakan dalam usaha menjalani kehidupan yang sejahtera mengikut neraca Syariat. Bagi JAKIM, mana-mana perlakuan yang menyanggahi Syariat, perlu diingatkan samada dalam bentuk dakwah yang berterusan kepada pelakunya ataupun tindakan perundangan.
 
8. JAKIM juga menyedari bahawa terdapat 3 kelompok LGBT di dalam negara iaitu yang telah berubah, namun memerlukan sokongan dalam mengekalkan perubahan yang menepati tuntutan Syariat. Terdapat juga golongan yang masih bermujahadah dalam mengekang kehendak hawa nafsu dan akur betapa perlakuan LGBT adalah sesuatu yang menyalahi fitrah insani. Bagi kelompok ini, mereka perlu terus dibimbing bukan dihukum, diterang dan bukannya diserang. Manakala kelompok ketiga yang dilihat teguh menyokong perlakuan LGBT, maka perlu dihadapi dengan hujah dan perbahasan yang matang dan rasional untuk mengingatkan mereka,bahawa kita tidak berkompromi dengan sesuatu perlakuan yang boleh meruntuhkan peradaban manusia.
 
9. Berdasarkan respon daripada para peserta yang pernah mengikuti program Mukhayyam ini, mereka mengakui program ini dapat membetulkan salah faham terhadap golongan agamawan yang selama ini dianggap mudah menghukum terhadap golongan yang melakukan kesalahan seperti melakukan perkara yang dilarang agama, dapat mengingati dan menghayati semula asas agama seperti solat dan fardhu ain, menginsafi semula tentang tanggungjawab diri kepada Allah SWT dan sesama manusia, serta membina keyakinan diri untuk menjalani kehidupan yang lebih sejahtera.
 
10. Kini sudah terdapat beberapa NGO Hijrah seperti Hijrah Republique, Islah Movement, Usrah Iqrak, Persatuan Insaf Pahang, Usrah Fitrah, Pertubuhan Insan Permata Disayangi, My Hijrah My Adventure dan Kifahuna Jemaa. Mereka merupakan para peserta yang pernah menyertai program Mukhayyam yang dianjurkan oleh JAKIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri, dan kini bergerak secara proaktif untuk membimbing rakan mereka daripada komuniti LGBT, bagi mendapatkan bimbingan daripada sudut spiritual seperti kelas pengajian Al-Qur’an, usrah dan majlis ilmu.
 
11. Justeru, JAKIM komited untuk meneruskan program Mukhayyam bagi membimbing komuniti LGBT berdasarkan impak program yang diakui berkesan sebagaimana dapatan oleh para peserta dan sokongan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti NGO Hijrah yang berkenaan dan MACSA.
 
12. Akhirnya, JAKIM mengingatkan tuntutan kehidupan bermasyarakat dalam negara perlu selari dengan panduan agama, sosio budaya setempat, nilai-nilai ketimuran serta apa yang telah digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan dan kerangka perundangan yang sedia ada di dalam negara. Ia bertepatan dengan kenyataan YAB Perdana Menteri pada 21 September 2018, bahawa Kerajaan bertegas amalan seperti LGBT tidak akan diterima sama sekali di negara ini.
 
Sekian
 
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT JAKIM
21 April 2019