KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
BERKENAAN
MAJLIS PELANCARAN MARHABAN YA RAMADHAN 1440H / 2019M DAN KEMPEN RAMADHAN TANPA PEMBAZIRAN
__________________________________________________________________________________________________________
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama IKIM, MAIWP, JAWI serta beberapa rakan strategik yang lain menganjurkan Majlis Pelancaran Marhaban Ya Ramadhan 1440H / 2019M dan Kempen Ramadhan Tanpa Pembaziran yang akan diadakan pada 29 April 2019 (Isnin) di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. Majlis ini disempurnakan oleh YB Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Pelancaran Marhaban Ya Ramadhan ini adalah sempena menyambut Bulan Ramadan yang mulia. Ramadhan adalah bulan kerahmatan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada umat Islam yang mempunyai keberkatan dan pahala berganda bagi setiap kebaikan yang dilakukan.
Dalam pada itu, program ini juga turut melancarkan Kempen Ramadhan Tanpa Pembaziran yang turut dijadikan tema program. Tema ini adalah penting untuk dihayati supaya umat Islam khususnya dapat menguruskan sumber secara berhemah di bulan Ramadan agar tidak berlaku pembaziran khususnya dalam aspek pemakanan. Usaha ini bertepatan dengan Maqasid Syariah yang menuntut supaya kita mengurus harta dengan baik.
Mengelakkan pembaziran khususnya di bulan Ramadhan adalah amat siginifikan bagi mengurangkan bahan-bahan terbuang ke arah menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar yang merupakan tuntutan dalam Islam. Ini bertepatan dengan matlamat berpuasa di bulan Ramadhan iaitu bagi mencapai nilai taqwa di sisi Ilahi. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud :-
"Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelummu agar kamu bertakwa".
Konsep takwa harus diterjemahkan dalam setiap perbuatan umat Islam termasuk mengelakkan daripada sifat mazmumah termasuklah amalan pembaziran.
Justeru itu, usaha dakwah untuk memberi kefahaman dan pendidikan kepada seluruh umat perlu diperkasakan lagi ke arah pembentukan khaira ummah. Mesej berterusan perlu disampaikan kepada umat Islam tentang perlunya penghayatan Ramadhan sebagai bulan untuk meningkatkan ketakwaan di samping tidak melakukan kecuaian.
Semoga dengan penganjuran program ini dapat menzahirkan rasa takzim dengan kehadiran Ramadhan yang diberkati dan dirahmati. Ia juga untuk mendapatkan keredhaan dan keampunan Allah SWT seterusnya memastikan semua masyarakat mendapat seruan dakwah dan ilmu yang bermanfaat berkaitan dengan hal ehwal keagamaan secara praktikal dan berkesan.
Seramai 1200 orang peserta menghadiri program ini yang terdiri daripada Agensi di bawah YB Menteri, Kementerian / Jabatan, NGO dan Wakil Negeri-negeri serta masyarakat awam. Antara pengisian program ini adalah seperti Ceramah Penghayatan Ramadhan (Hindari Pembaziran), Kempen Hindari Pembaziran melalui edaran stickers dan flyers, pameran, Penyampaian Sumbangan kepada Masjid dan Surau Jumaat Wilayah-Wilayah Persekutuan dan lain-lain lagi.
Sehubungan itu, dipohon jasa baik pihak media untuk menguwar-uwarkan penganjuran program ini kepada masyarakat umum.
Sekian, terima kasih
DATUK MOHAMAD NORDIN BIN IBRAHIM
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
23 Syaaban 1440H
29 April 2019M
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
23 Syaaban 1440H
29 April 2019M