jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
 
BERKENAAN
 
KEJOHANAN SUKAN SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH AGAMA MALAYSIA (KESSUMA)
PERINGKAT KEBANGSAAN KALI KE-20 TAHUN 2019
__________________________________________________________________________________________
 
 
1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengadakan Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) Peringkat Kebangsaan kali ke-20 Tahun 2019 pada 15 - 19 Julai 2019 (Isnin hingga Jumaat) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
 
2. KESSUMA adalah merupakan aktiviti tahunan kejohanan sukan bagi pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di Malaysia.
 
3. Seramai 2,100 orang akan terlibat dalam penganjuran KESSUMA yang terdiri daripada peserta lelaki/perempuan, pengurus/jurulatih, pegawai JAIN dan urus setia JAKIM/ Negeri.
 
4. Kejohanan ini dianjurkan adalah bagi memupuk semangat persahabatan dan silaturrahim dalam kalangan pelajar serta pegawai bagi melahirkan pelajar yang cergas fizikal dan cerdas minda serta meningkatkan semangat kesukanan seterusnya melahirkan jaguh-jaguh sukan dalam kalangan pelajar Sekolah Agama di Malaysia.
 
5. Objektif penganjuran KESSUMA adalah untuk melahirkan jaguh sukan dalam kalangan pelajar Sekolah Agama di Malaysia yang cergas fizikal dan cerdas minda melalui aktiviti kesukanan di samping mengiktiraf bakat, potensi dan kebolehan yang dimiliki pelajar di peringkat kebangsaan selain membentuk generasi yang sihat dan celik akal.
 
6. Penganjuran KESSUMA ini juga amat signifikan dan selari dengan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang telah menetapkan kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mulai sesi 2006/2007 markah daripada kegiatan kokurikulum sebanyak 10% markah merit akan diambil kira sebagai penilaian kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi.
 
7. Acara-acara yang dipertandingkan adalah seperti berikut :-

Acara Peserta
i. Bola Sepak : Padang A & B, UKM
ii. Bola Jaring : Sport Arena, UNITEN
iii. Sepak Takraw : Sport Arena, UNITEN
iv. Bola Tampar : Sport Arena, UNITEN
v. Badminton : Dewan Gemilang, UKM
vi. Ping Pong : Dewan Gemilang, UKM

Acara Pegawai
i. Ping Pong : Dewan Gemilang, UKM
ii. Badminton : Dewan Gemilang, UKM
iii. Bowling : Bangi Gateway, Bandar Baru Bangi
 
 
8. Di samping mengikuti semua kejohanan sukan yang dipertandingkan, para peserta KESSUMA juga disediakan kemudahan ruang untuk menunaikan solat fardhu terus di lokasi mereka bersukan iaitu di sekitar kawasan Stadium Universiti. Ini bertepatan dengan konsep Rahmatan Lil ’Alamin bahawa Islam diturunkan untuk memberi rahmat ke seluruh alam. Walaupun bersukan, tanggungjawab sebagai hamba Allah tidak akan diabaikan.
 
9. Majlis Perasmian Pembukaan KESSUMA akan disempurnakan oleh YBhg. Datuk Mohamad Nordin bin Ibrahim, Ketua Pengarah JAKIM pada 15 Julai 2019 (Isnin) jam 5.00 petang di Stadium Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi. Manakala Majlis Perasmian Penutupan KESSUMA akan disempurnakan oleh YAB Tuan Amirudin bin Shari, YAB Dato’ Menteri Besar Selangor pada 18 Julai 2019 (Khamis) jam 8.30 malam di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM.
 
10. Sehubungan itu, mohon jasa baik pihak media untuk mewar-warkan penganjuran Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) Peringkat Kebangsaan ini kepada masyarakat umum.
 
Sekian, terima kasih
 
DATUK MOHAMAD NORDIN BIN IBRAHIM
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
15 Julai 2019