jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

PENGANUGERAHAN SIJIL AKREDITASI PENUH MQA BAGI PROGRAM DIPLOMA DAKWAH ISLAMIYYAH,
INSTITUT PENGAJIAN ISLAM DAN DAKWAH SABAH (IPDAS) SABAH
____________________________________________________________________________________________________
 
1. Sukacita JAKIM ingin memaklumkan bahawa sebuah lagi institusi pengajian milik JAKIM iaitu Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) telah mendapat pengiktirafan akreditasi penuh MQA yang telah disahkan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pengiktirafan MQA yang bersidang pada 27 Ogos 2019 bagi program Diploma Dakwah Islamiyyah.
 
2. IPDAS merupakan pusat pengajian di bawah JAKIM yang menyediakan pendidikan tinggi khususnya dalam bidang dakwah Islamiah di Sabah. IPDAS menyediakan pendidikan formal kepada para muallaf negeri Sabah dan pendidikan tinggi Islam di peringkat sijil dan diploma bagi pelajar lepasan SPM. IPDAS mula melaksanakan Program Diploma Dakwah Islamiyyah secara sepenuhnya semenjak tahun 2014. Sehingga kini, jumlah graduan IPDAS bagi program diploma adalah seramai 330 orang. Manakala jumlah graduan sijil seramai 8,823 orang menjadikan jumlah keseluruhan graduan IPDAS seramai 9,153 orang .
 
3. Dengan pengiktirafan ini, ia menjadikan IPDAS sebagai pusat pengajian ketiga milik JAKIM yang mendapat pengiktirafan penuh MQA selain Darul Quran di Kuala Kubu Bharu, Selangor dan Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) di Kuching, Sarawak. Program Diploma Tahfiz al-Quran dan al-Qiraat yang dilaksanakan di Darul Qura JAKIM telah mendapat pengiktirafan akreditasi penuh MQA pada 29 Januari 2019. IKMAS pula melaksanakan program Diploma Dakwah Islamiyyah dan telah memperolehi pengiktirafan akreditasi penuh MQA juga pada 29 Januari 2019
 
4. Harapannya, dengan pengiktirafan yang diperolehi institusi pendidikan JAKIM ini akan dapat meneruskan agenda "Melebar Risalah Menyantuni Ummah" selaras dengan Gagasan Negara Rahmah yang diperkenalkan oleh Kerajaan hari ini.
 
Sekian, terima kasih
 
 
DATUK MOHAMAD NORDIN BIN IBRAHIM
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
02 Safar 1441H
1 Oktober 2019M