jata negara small
 

KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

SIDANG KEMUCAK HALAL GLOBAL (GHaS) 2024  DAN SAMBUTAN JUBLI EMAS HALAL MALAYSIA

 

Bil. 29/2024



1.   Bersempena sambutan ulang tahun ke-50 Jubli Emas Halal Malaysia, sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Sekretariat Majlis Halal Malaysia dan Bahagian Pengurusan Halal akan menganjurkan Sidang Kemuncak Halal Global 2024 (GHaS 2024) Kali Ke - 14 yang bakal berlangsung di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur mulai 17 hingga 19 September 2024. Acara tahunan Halal terbesar ini juga bakal dirasmikan oleh YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia
.
2.    Dengan tema “Propelling Communities Towards Halal Excellencies” iaitu “Mendorong Komuniti Ke Arah Kecemerlangan Halal" ia bakal memperkukuh integriti dan kualiti pensijilan halal sekaligus merupakan suatu ikhtiar secara bersepadu dan holistik untuk menjadikan segala dasar dan pelaksanaannya lebih manusiawi dan sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah serta maklum balas semua pihak sejajar dengan konsep Malaysia MADANI. Lima (5) program strategik bakal disajikan oleh GHaS 2024 iaitu Sambutan Jubli Emas Halal Malaysia, 14th Halal Certification Bodies Convention (HCBC), 3rd International Halal Technical Capacity Development Programme (IHTCDP), 1st MABIMS Halal Summit 2024, dan MABIMS Halal Technical Meeting 2024.

Perincian lima (5) program yang akan berlangsung sepanjang Sidang Kemuncak Halal Global 2024 (GHaS 2024) bermula 17 – 19 September ini adalah seperti berikut:

a.     Sambutan Jubli Emas Halal Malaysia

Penglibatan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam memberi pengesahan status halal kepada produk makanan dan barangan gunaan Islam di negara ini bermula sejak 50 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1974. Dengan tema “Halal Malaysia: 5 Dekad Menerajui Dunia”, sambutan Jubli Emas Halal Malaysia akan berlangsung pada 18 September 2024 bertempat di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur. Acara kemuncak ini akan dirasmikan oleh YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri.

Sambutan ulang tahun ke 50 tahun Halal Malaysia ini juga akan mencerminkan kematangan JAKIM dalam menguruskan pensijilan halal Malaysia dengan meletakkan Malaysia di landasan yang betul dengan keutamaan yang ditetapkan untuk memupuk daya saing industri halal yang inklusif sebagai salah satu daripada strategi dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk mempercepatkan pembangunan industri yang berimpak tinggi. Ia juga satu sambutan yang amat signifikan dalam membangkitkan semangat al-Falah dan menzahirkan aspirasi ekonomi MADANI untuk memastikan kemampuan Malaysia sebagai pusat pengeluaran persijilan halal yang diiktiraf dunia.

b.     Konvensyen Badan Pensijilan Halal Kali Ke – 14 (HCBC)

Penganjuran Konvensyen Badan Pensijilan Halal Luar Negara (HCBC) pada tahun ini merupakan platform pertemuan dan perbincangan antara JAKIM bersama badan pensijilan halal luar negara di seluruh dunia. Ia akan menjadi wadah pertemuan untuk pemegang taruh bagi membincangkan isu-isu terkini berkaitan halal, mendepani cabaran masa hadapan dan perancangan bagi memperkukuh standard dan piawaian pensijilan halal .

c.     3rd International Halal Technical Capacity Development Programme (IHTCDP)
 
Penganjuran IHTCDP mendapat sambutan yang menggalakkan sejak diperkenalkan pada tahun 2017 melalui 8th Halal Certification Bodies Convention (HCBC). Ia adalah usaha untuk meningkatkan kefahaman dan kompetensi juruaudit Badan Pensijilan Halal Luar Negara dalam skim pensijilan yang ditawarkan serta membangunkan strategi transformasi yang bersesuaian dengan keperluan badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM.

Fokus penganjuran IHTCDP pada tahun ini adalah melibatkan skim rumah sembelihan dan keperluan import di Malaysia serta memberi pendedahan kepada juruaudit Syariah daripada badan pensijilan halal luar negara mengenai tanggungjawab yang perlu dilakukan yang akhirnya bakal menyumbang kepada kemajuan berterusan dalam sektor halal.

d.     1st MABIMS Halal Summit 2024, dan MABIMS Halal Technical Meeting 2024.
 
Program ini akan meningkatkan lagi impak sidang kemuncak yang dianjurkan dengan cara menghimpunkan perwakilan dari negara Brunei, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura di bawah rangka kerja MABIMS. Pertemuan yang diatur akan memberi tumpuan kepada usaha kolaboratif untuk menyelaraskan piawaian Halal, menangani cabaran serantau, dan meneroka peluang untuk pengiktirafan dan kerjasama bersama dalam industri Halal. Ini bertujuan meneroka ruang dan peluang yang tersedia menerusi platform yang disediakan ini untuk mengukuhkan peranannya sebagai platform penting demi membentuk masa depan landskap Halal global yang diimpikan.

3.    Semoga dengan penganjuran Sidang Kemuncak Halal Global 2024 ini akan memberi kesan positif khususnya dalam menyediakan maklumat berguna kepada semua peserta dan jemputan sekaligus berjaya mencapai matlamat, misi dan visi demi kebaikan ummah sejagat. Selain itu, JAKIM akan terus memberikan komitmen yang tinggi agar lebih banyak agenda halal baru berteraskan Malaysia Madani dapat dihasilkan demi memperbaiki ekosistem halal.

4.   Justeru, JAKIM mengalu-alukan kehadiran pihak media bagi membuat liputan di Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Halal Global & Sambutan Jubli Emas Halal Malaysia pada 18 September 2024 sekaligus menzahirkan komitmen Jabatan ini untuk terus memperkasa dan memelihara imej pensijilan halal Malaysia agar kekal sebagai peneraju pensijilan halal bertaraf dunia.
 
Sekian.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
9 Rabiulawwal 1446H / 13 September 2024M