KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERKENAAN
MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1446 / 2024
Bil. 31/2024
1. Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 / 2024 pada 12 Rabiulawal 1446H bersamaan 16 September 2024 (Isnin) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula jam 7.30 pagi.
2. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah berkenan untuk berangkat bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ke majlis tersebut. YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dan isteri dijadual hadir bersama bagi menyemarakkan lagi majlis sambutan pada tahun ini. Selain itu, tetamu kehormat lain yang dijadual hadir adalah YAB Timbalan-timbalan Perdana Menteri, YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta dif-dif kenamaan lain.
3. Sambutan Maulidur Rasul SAW adalah merupakan salah satu acara rasmi Kerajaan yang disambut setiap tahun sama ada di peringkat Persekutuan dan Negeri sesuai dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan Malaysia. Sambutan bukan sekadar untuk memperingati hari ulang tahun kelahiran Rasulullah SAW, malah ia menjadi wadah terbaik dalam menyantuni masyarakat meneladani susur kehidupan, perjuangan dan sunnah Rasulullah SAW.
4. Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan tahun ini melibatkan penyertaan seramai 6000 orang dari 131 kontinjen kementerian, badan berkanun dan agensi swasta. Kemuncak Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 / 2024 ini adalah Pengurniaan Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1446 / 2024 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
PENGURNIAAN ANUGERAH SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL DAN KRITERIA PENGANUGERAHAN
PENGURNIAAN ANUGERAH SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL DAN KRITERIA PENGANUGERAHAN
5. Majlis pada kali ini akan menobatkan seorang penerima Anugerah Perdana dan 6 orang penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW. Anugerah ini diberikan sebagai pengiktirafan kepada individu-individu yang layak dan telah memberi sumbangan yang cukup bermakna dalam pembangunan ummah dan negara. Penerima Anugerah dipilih berdasarkan jasa dalam bidang kepakaran masing-masing yang telah disumbang untuk pembangunan agama, bangsa dan negara yang memberi impak positif ke atas kesejahteraan dan kemakmuran semua. Penerima anugerah dicadangkan oleh Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan yang diurusetiakan oleh JAKIM.
TEMA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW
6. Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW tahun ini, Kerajaan telah memilih tema “Al-Falah Pemacu Malaysia Madani”. Tema ini adalah manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW dan ia merupakan satu tema yang sangat signifikan bagi memacu umat di negara ini ke arah kejayaan yang hakiki dunia dan akhirat. Dalam konteks ini, pembangunan ummah yang berteraskan konsep Al-Falah (kejayaan) ini perlu disemai, digarap, dihayati dan dicapai bagi merealisasikan Gagasan Malaysia MADANI.
KEISTIMEWAAN PENGANJURAN SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW
7. Penganjuran kali ini dapat menyaksikan inovasi atau suntikan elemen teknologi iaitu persembahan seni media pemetaan cahaya (mapping) pada latar pentas (astaka), yang akan memaparkan tayangan grafik yang berinteraksi dengan fasad latar pentas (astaka). Ini adalah merupakan antara tarikan dan kelainan yang bakal dibawa melalui acara sambutan pada kali ini.
8. Selain itu, mengambil semangat kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW, maka pada tahun ini juga dibawakan persembahan khas yang mengangkat keperibadian Nabi Muhammad SAW sebagai tauladan dan pemangkin kemakmuran dalam menyatupadukan umat manusia berdasarkan peristiwa-peristiwa dari sirah kehidupan baginda.
ACARA-ACARA MENARIK SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL SAW
9. Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW tahun ini akan diadakan beberapa acara sampingan :-
i- Malam Cinta Rasul 2024. Terdapat tiga (3) acara sempena Malam Cinta Rasul 2024 :-
a) Karnival Healing De’Masjid pada 13-16 September 2024 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya
b) Pameran Artifak Rasulullah SAW dan sahabat pada 13-16 September 2024 di Masjid Putra, Putrajaya
c) Selawat Perdana pada 15 September 2024 di Dataran Putra, Putrajaya bermula pada 6.00 petang sehingga 11.00 malam
ii- Pameran Al-Falah.
Pameran Al-Falah adalah melibatkan 20 buah booth pameran dari 14 buah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Pelbagai aktiviti dan perkhidmatan menarik akan dijalankan di booth pameran ini.
10. Semoga Sambutan Maulidur Rasul SAW tahun ini dapat memberi manfaat yang bermakna buat kita semua ke arah melahirkan ummah yang berjaya dunia dan akhirat seiring dengan konsep Al-Falah (kejayaan) yang diperkenalkan oleh YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
11. Konsep Al-Falah (kejayaan) ini perlu disemai, digarap, dihayati dan dicapai bagi tujuan untuk menjayakan agenda pembaharuan dan pembangunan ummah sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani yang digagaskan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri.
12. Majlis ini akan disiarkan secara langsung menerusi saluran TV1 RTM dan disambung siar oleh TV Al-Hijrah serta Facebook dan Youtube JAKIM. Radio Nasional FM, Radio IKIM dan Web TV JAKIM turut membuat liputan secara langsung. Selain itu, beberapa radio RTM juga membuat lintas langsung iaitu Ai FM (Mandarin), Traxx FM (B. Inggeris), Minnal FM (Tamil) dan Asyik FM (Radio Orang Asli).
13. Sehubungan itu, dimohon jasa baik rakan-rakan media untuk membuat hebahan berkaitan sambutan ini.
Sekian
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
9 Rabiulawal 1446H bersamaan / 13 September 2024M