jata negara small
 

KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

HASIL RAMPASAN OP GLOBAL FASA 4 JADI BAHAN BUKTI SOKONGAN UNTUK TENTUKAN STATUS AKIDAH PENGIKUT GISBH

 

Bil. 33/2024

1. Susulan Op Global Fasa 4 yang dilancarkan PDRM dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk JAKIM, terdapat beberapa rampasan bahan-bahan yang boleh dijadikan bukti sokongan terhadap pegangan akidah pengikut kumpulan GISB Holdings Sdn. Bhd (GISBH).

2. Bahan-bahan bukti tersebut akan dijadikan asas dalam Kertas Laporan untuk dibincang dan diputuskan dalam Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (Muzakarah MKI) yang akan berlangsung pada 24 hingga 26 September 2024. Keputusan Muzakarah MKI mengenai status doktrin Kumpulan GISBH ini akan menjadi panduan kepada pihak berkuasa agama negeri dalam mengeluarkan fatwa bagi membolehkan proses pendakwaan terhadap ajaran kumpulan ini dibawa ke Mahkamah Syariah.

3. JAKIM amat menghargai kerjasama semua agensi yang terlibat khususnya pihak PDRM dalam membantu JAKIM bagi melengkapkan bahan bukti untuk tujuan tersebut. Penghargaan juga kepada pihak Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) yang memberi kerjasama erat kepada JAKIM selama ini bagi memastikan proses penentuan status pegangan akidah dan syariah pengikut GISBH dapat diputuskan secara tuntas.

4. JAKIM di bawah arahan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa berusaha bagi memastikan pegangan akidah dan syariah umat Islam di negara ini sentiasa selari dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Sebarang usaha yang boleh mencemarkan kesucian ajaran Islam akan dibendung dengan kerjasama semua pihak.

Sekian.

DATIN PADUKA HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD. YUSOFF
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
21 September 2024