jata negara small
 

KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

ISU GISBH

 

Bil. 32/2024

1. Merujuk kepada isu Global Ikhwan Services and Business Holding Sdn. Bhd. (GISBH) dan bidang kuasa JAKIM untuk mengambil tindakan terhadap Kumpulan berkenaan, selaras dengan peraturan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Kebangsaan (MKI) di mana JAKIM sebagai sekretariat yang melaksanakan fungsi MKI bagi menyembah nasihat kepada Majlis Raja-raja apa-apa perkara berkenaan perundangan Islam, pengurusan hal ehwal Islam dan pendidikan agama Islam bagi maksud menambah baik, menyelaras dan menggalakkan keseragaman undang-undang atas kepentingan negara.

2. JAKIM juga adalah merupakan agensi persekutuan bagi pengurusan hal ehwal Islam bertanggungjawab dalam penyelarasan dan penyeragaman perundangan serta pandangan hukum bagi sesuatu isu di kalangan masyarakat Islam.

3. Dalam konteks berkaitan GISBH, tindakan telah dimulakan pada bulan Februari 2019 dengan 12 mesyuarat, bengkel, Task Force, program kenegaraan telah dilaksanakan terhadap isu ini yang turut melibatkan agensi keselamatan negara iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN). Satu pertemuan tertutup dengan pihak GISBH telah diadakan pada bulan September 2019 melibatkan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Jabatan Peguam Negara, Panel Pakar Akidah JAKIM serta Panel Pakar Tasawuf JAKIM. Pertemuan ini telah membincangkan isu berkaitan GISBH melalui sesi dialog dengan cadangan penyelesaian yang bersesuaian.

4. Pada Julai 2022, Mesyuarat Khas bersama Agensi Keselamatan Negara termasuk MKN, PDRM dan KDN telah diadakan bagi tujuan penyelarasan isu berkaitan. Ianya disusuli dengan beberapa perbincangan pada bulan Ogos 2024, Program Kem Kenegaraan Remaja Pembela Ummah (RPU) GISBH kali ke-2 serta dialog dengan pihak GISBH pada 22 September atas dakwaan penyelewengan akidah yang masih diamalkan seterusnya disusuli dengan perbincangan bersama NADI MAIS dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

5. Pada Februari 2023, Mesyuarat Khas Panel Pakar Akidah mengenai isu GISBH diadakan melibatkan NADI, Bahagian Ancaman Ekstrimis Sosial E2, Cawangan Khas PDRM serta pertemuan dengan bekas pengikut GISBH disamping program kenegaraan kepada RPU diteruskan anjuran PDRM dan iLead, KBS pada Oktober 2023. Seterusnya pada Februari 2024, satu pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif GISBH diadakan bagi mengkaji lebih mendalam isu isu akidah, syariah dan tasawuf dalam GISBH.

6. Hasil kajian dan dapatan ini akan dibentangkan dalam Muzakarah MKI dan Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) seterusnya memohon perkenan Majlis Raja Raja sebelum difatwakan di bawah bidang kuasa negeri-negeri bagi tujuan penguatkuasaan. JAKIM konsisten mengadakan dialog, program dan kajian mendalam mengenai isu ini dan tidak berkompromi dengan isu-isu yang melibatkan akidah umat Islam.

Sekian.

KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA 14 September 2024 / 10 Rabiulawal 1446



https://www.facebook.com/share/p/hYcRNqhgAvzVPYJk/?mibextid=WC7FNe

https://www.instagram.com/p/C_4Vag5NT6E

https://x.com/myjakim/status/1834776963279671508?s=46&t=3WhpVqG2MeFJjnh83YrK8A