jata negara small
  

KENYATAAN MEDIA

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKAITAN

PELANTIKAN KETUA PENGARAH JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

 

Bil. 36/2024

 bismillah 2

    Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Pemurah

1. Merujuk kepada Kenyataan Media YBhg Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara pada 1 Oktober 2024 telah memaklumkan pelantikan YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang baharu berkuatkuasa pada 1 Oktober 2024 bersamaan 27 Rabiulawal 1446 Hijrah.

2. Kerajaan juga telah melantik YBhg. Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff sebagai Penyelaras Hal Ehwal Halal yang melibatkan koordinasi antara JAKIM, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Halal Development Corporation (HDC) berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024. Jabatan ini merakamkan sekalung penghargaan atas khidmat bakti yang dicurahkan selama beliau menjadi Ketua Pengarah JAKIM bermula 21 Mac 2022. Sesungguhnya pelantikan ini merupakan pengiktirafan Kerajaan kepada sumbangan YBhg. Datin Paduka selama ini kepada pembangunan Islam di Malaysia.

3. YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin bin Suhaimee berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Syariah & Undang-Undang) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ijazah Sarjana Sains Teknologi Maklumat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Ijazah Doktor Falsafah (Sains Komputer), University of South Australia (UniSA).

4. Kerjaya YBhg. Dato’ sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam di JAKIM bermula pada 2 Januari 1992 dan penempatan pertama beliau adalah di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebagai Penolong Pengarah (Dakwah). Beliau seterusnya dilantik sebagai Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan JAKIM, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM dan juga sebagai Setiausaha Pertama (Halal), Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra, Australia. Jawatan terakhir YBhg. Dato’ sebelum dilantik sebagai Ketua Pengarah JAKIM adalah sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), JAKIM.

5. Selain itu, YBhg. Dato’ turut menyumbangkan kepakaran dalam bidang pengurusan halal dan pengurusan hal ehwal Islam sebagai Profesor Adjung di 4 buah Universiti Awam iaitu UniSZA, UiTM, UUM dan UTM.

6. Semoga pelantikan ini akan dapat memperkukuhkan perkhidmatan hal ehwal Islam agar selari dengan pendekatan Malaysia Madani yang digagaskan oleh YAB Perdana Menteri serta bertepatan dengan agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.


Sekian, terima kasih.

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
1 Oktober 2024 bersamaan 27 Rabiulawal 1446 Hijrah