KENYATAAN MEDIA

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERHUBUNG

JAKIM TUBUH PASUKAN KHAS PENGURUSAN JENAZAH COVID-19
 

Berikutan wabak COVID-19 yang melanda negara dan peningkatan jumlah kematian yang dilaporkan, JAKIM telah mempersiapkan pasukan khas pengurusan jenazah sebagai langkah siap siaga. 
 
Pasukan yang ditubuhkan sejak wabak ini melanda negara telah diberi taklimat dan penerangan mengenai kaedah pengurusan jenazah secara khas berpandukan pandangan hukum yang diputuskan oleh Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Mac 2020 yang bersetuju supaya pengurusan jenazah mangsa COVID-19 menggunapakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa MKI Kali ke-107, bertarikh 10 hingga 11 Februari 2015 mengenai Hukum Pengurusan Jenazah Orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti Virus Ebola (Ebola Virus Diseases: EVD) di Malaysia. Pandangan ini telah mendapat perkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah.
 
Seramai 18 orang petugas khas pengurusan jenazah telah diarah bersiap sedia terdiri daripada pegawai dari JAKIM, Masjid-masjid Utama di bawah JAKIM dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI). Mereka terdiri daripada 12 lelaki dan 5 perempuan.
 
Sekian.
 
HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD YUSOFF
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), JAKIM