jata negara small
  

KENYATAAN MEDIA

KETUA PENGARAH JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKAITAN

PENGANJURAN PROGRAM ZIKIR AKBAR MADANI BERSEMPENA SAMBUTAN HARI WILAYAH PERSEKUTUAN (SHWP) 2025


Bil. 03/2025

bismillah 2
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Pemurah

1. Sukacita dimaklumkan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan sokongan 13 agensi di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) serta rakan strategik, dengan penuh rasa kesyukuran akan menganjurkan Program Zikir Akbar Madani sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2025.

2. Program Zikir Akbar Madani sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2025 akan berlangsung pada 31 Januari 2025 (Jumaat) di Masjid Tuanku Mizan, Zainal Abidin, W.P Putrajaya bermula jam 6.00 petang hingga 10.30 malam. Ia akan dihadiri oleh YB Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan YB Dr. Zaliha binti Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

3. Sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada tahun 2025 ini merupakan kali ke-21 semenjak penganjuran kali pertama pada 2004. Selain itu, Wilayah Persekutuan juga turut telah menyambut ulangtahun pembentukannya yang ke-50 tahun pada 2024. Oleh yang demikian, aktiviti/ program yang berorientasikan rakyat (people centric) dan mesra rakyat yang dirancang dan dilaksanakan sempena SHWP 2025 ini sememangnya memberikan manfaat kepada warga Wilayah Persekutuan dan merangsang seluruh warga Wilayah Persekutuan seiringan dengan konsep Malaysia MADANI sekaligus memajukan lagi Wilayah Persekutuan demi kesejahteraan bersama.

4. Sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada tahun ini cukup bermakna kerana bertepatan dengan tarikh yang sama menjelang ketibaan salah satu bulan istimewa bagi umat Islam, iaitu bulan Syaaban. Bulan ini penuh keberkatan dan membawa makna besar kepada kehidupan spiritual, selain menjadi peluang untuk membuat persediaan menyambut Ramadan. Oleh yang demikian, penganjuran program Zikir Akbar Madani amat signifikan kerana ia bukan sahaja dapat menyuburkan amalan keagamaan, tetapi juga menjadi wadah untuk menyatukan umat Islam dalam menghayati nilai-nilai spiritual.

5. Antara pengisian program yang telah disusun adalah Solat Hajat, Bacaan Yasin dan Doa Selamat untuk kesejahteraan Malaysia serta disusuli dengan bacaan Selawat dan Tausiyah Khas yang akan menyentuh nilai perpaduan dan kesejahteraan daripada Sahibus Samah Prof Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan dan Profesor Dato' Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti, Dekan Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Brunei Darussalam. Kemuncaknya adalah penyampaian amanat oleh YB Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im bin Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

6. Dengan gabungan elemen keagamaan dan kecintaan terhadap Wilayah Persekutuan, program kerjasama strategik yang dianjurkan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan ini diharapkan mampu menyuntik semangat kepada masyarakat khususnya warga Wilayah Persekutuan untuk bersama-sama memelihara keharmonian dan kemajuan Wilayah Persekutuan, sambil menghayati keberkatan bulan yang istimewa tersebut dalam mengukuhkan hubungan spiritual dan sosial.

7. Penganjuran program tersebut adalah sejajar dengan agenda tahun 2025, agensi-agensi di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menumpukan fokus gerak kerja berpandukan tema “Islam Mekar di Bumi Malaysia” ke arah meningkatkan kefahaman dan penghayatan Islam melalui semarak majlis ilmu.

8. Sehubungan dengan itu, JAKIM, dengan sokongan daripada 13 agensi di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), bersama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) serta rakan strategik, dengan ini menjemput dan mengalu-alukan kehadiran serta penyertaan seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Wilayah Persekutuan, untuk memberi sokongan dan turut serta dalam program ini.

9. Jasa baik daripada rakan-rakan media turut dipohon untuk mewar-warkan berkenaan penganjuran Program Zikir Akbar Madani sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2025 dan hadir untuk membuat liputan program ini pada waktu dan lokasi yang telah dinyatakan.

Sekian, terima kasih.

DATO' DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
28 Januari 2025 / 28 Rejab 1446 Hijrah


https://www.facebook.com/share/p/18FHfF1GUQ/?mibextid=wwXIfr