
KENYATAAN MEDIA
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERKENAAN
ISU LELAKI BERPAKAIAN MENYERUPAI WANITA SEMASA SEBUAH ACARA PERTANDINGAN HIBURAN
Bil. 08/2025

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil perhatian serius terhadap isu yang tular mengenai lelaki Muslim berpakaian menyerupai wanita semasa sebuah acara program hiburan yang berlangsung pada 16 Februari 2025 sehingga menimbulkan keresahan dan menyentuh sensitiviti agama Islam serta budaya di Malaysia.
2. Oleh itu, JAKIM telah menghubungi dan memanjangkan perkara ini kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang bertanggungjawab mengawal selia industri komunikasi dan multimedia di negara ini berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
3. Pihak JAKIM turut akan memanggil pihak berkaitan untuk mendapatkan penjelasan lanjut dan mengadakan sesi perbincangan secara tertutup bagi memberikan nasihat dan bimbingan.
4. Sehubungan itu, JAKIM menyeru dan menasihati semua pihak agar sentiasa peka, menghormati nilai-nilai serta sensitiviti agama di Malaysia. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dan berharap agar perlakuan seumpama ini tidak berulang lagi pada masa akan datang.
5. Sesungguhnya, Islam adalah agama rahmah dan menyantuni fitrah manusia yang menginginkan hiburan. Malah hiburan juga sebagai salah satu elemen yang membawa kepada kegembiraan, kesejahteraan dan memupuk nilai-nilai murni. Namun, perlu dibatasi dengan adab dalam berhibur agar tidak bercanggah dengan akidah, syariah dan akhlak Islam
Sekian, terima kasih.
DATO' DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
17 Februari 2025 Masihi / 18 Syaaban 1446 Hijrah