jata negara small
  

KENYATAAN MEDIA

JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)

BERKENAAN

VIDEO TULAR BEBERAPA INDIVIDU YANG DIDAKWA CUBA MENYEBAR AGAMA BUKAN ISLAM KEPADA ORANG ISLAM DALAM KAWASAN PERUMAHAN DI WILAYAH PERSEKUTUAN


Bil. 10/2025



bismillah 2

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

1. Susulan tular kejadian beberapa individu yang didakwa cuba menyebar agama bukan Islam kepada orang Islam dalam kawasan perumahan di Wilayah Persekutuan, semua pihak adalah diseru supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memelihara keharmonian negara. Sebagaimana yang kita maklum, Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya, yang mana orang bukan Islam tidak boleh menyebarkan dan mengembangkan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama bukan Islam di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

2. Sebarang tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan perlulah dihentikan kerana ia boleh membawa keresahan awam khususnya dalam kalangan umat Islam.

3. Semua pihak yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian tular tersebut, perlu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut pihak berkuasa. Sekiranya terbukti mana-mana pihak telah melakukan perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, mereka perlu dibawa ke muka pengadilan untuk iktibar kepada semua pihak.

4. Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Kementerian Perpaduan Negara akan memainkan peranan dalam memantau dan menguruskan isu-isu keagamaan dengan pendekatan yang adil dan harmoni demi kestabilan dan keamanan Malaysia.

Sekian, terima kasih.

DATO' DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
24 Februari 2025 / 25 Sya’ban 1446 Hijrah