jata negara small
  

KENYATAAN MEDIA

MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA)

BERKENAAN

MAJLIS PELANCARAN IHYA’ RAMADAN PERINGKAT KEBANGSAAN TAHUN 1446H/2025M

Bil. 13/2025



bismillah 2
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih


1. Agensi Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri menganjurkan Majlis Pelancaran Sambutan Program Ihya’ Ramadan Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2025M pada 26 Februari 2025 (Rabu) bersamaan 27 Sya'aban 1446H bermula pada jam 9.00 hingga 11.00 pagi di Dewan Jamuan Masjid Putra, Putrajaya.

2. Majlis Pelancaran ini menjadi platform rasmi untuk mengumumkan pelaksanaan program-program sempena ketibaan bulan Ramadan al-Mubarak yang bakal dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama agensi-agensi Hal Ehwal Agama di bawah Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk makluman seluruh masyarakat. Berlandaskan semangat Malaysia MADANI dan aspirasi Malaysia Mekar di Bumi Malaysia, tema sambutan Ihya’ Ramadan tahun ini, "Ramadan Pemacu Ummah Madani," diangkat sebagai simbol keberkatan, kasih sayang, dan keprihatinan yang menyatukan jiwa-jiwa dalam harmoni. Dalam sinar Ramadan yang penuh rahmat ini, kita bersama-sama memperkukuh perpaduan, menyemai nilai ihsan, serta mengukuhkan asas keharmonian demi membentuk masyarakat yang lebih inklusif dan sejahtera.

3. Antara tujuan penganjuran majlis ini adalah untuk:

(a) Memberi peluang kepada agensi hal ehwal Islam mempertingkatkan tahap penghayatan agama Islam melalui perkongsian ilmu dan aktiviti ibadat sepanjang Ramadan;
(b) Mengeratkan hubungan silaturrahim dalam kalangan agensi hal ehwal Islam di bawah Menteri (Hal Ehwal Agama) di Jabatan Perdana Menteri;
(c) Mengukuh dan memperkasakan jalinan kerjasama strategik bersama Agensi Hal Ehwal Islam di Malaysia; dan
(d) Menerapkan budaya berdakwah dalam diri agensi hal ehwal Islam di samping menyuburkan semangat untuk meraih keredhaan Allah SWT.

4. Majlis ini dihadiri oleh 350 orang yang terdiri daripada ketua-ketua agensi hal ehwal Islam Persekutuan, Majlis / Jabatan Agama Islam Negeri, Ahli Tetap Sekretariat Korporat Dakwah JAKIM, kakitangan agensi dan penerima zakat Wilayah Persekutuan.

5. Majlis seperti ini memperkukuh peranan Agensi Hal Ehwal Islam dalam menyemarakkan bulan Ramadan dengan pelbagai aktiviti bermanfaat dan berimpak tinggi. Ia menjadi pemangkin untuk masyarakat mempergiatkan penghayatan nilai-nilai Islam melalui amalan kerohanian seperti solat, tilawah dan tadarus al-Quran, memperkasa ilmu, memperbanyakkan sedekah, serta melaksanakan amal jariah. Dengan ini, semangat keinsafan, kasih sayang, dan kebersamaan dapat diperkukuh dalam kalangan ummah.

6. Secara tidak langsung juga, masyarakat sedar bahawa kegiatan ibadah, penghayatan ilmu, bantuan kepada golongan mustad'afiin dan asnaf adalah menunjukkan ketinggian komitmen peneraju Hal Ehwal Islam terhadap penyampaian risalah Islam.

7. Sesungguhnya, Agensi Hal Ehwal Agama Islam, sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri, diharapkan dapat terus memperkukuh hubungan dan mempererat kerjasama dalam usaha memperkasa penyampaian mesej agenda Malaysia MADANI dan Transformasi al-Falah. Selaras dengan aspirasi 'Malaysia Mekar di Bumi Malaysia', usaha ini menjadi landasan utama dalam memartabatkan Islam serta membangunkan negara ke arah kemakmuran yang lebih holistik dan berdaya maju.


Sekian, terima kasih.


DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
26 Februari 2025