jata negara small
  

KENYATAAN MEDIA

KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

KANDUNGAN MEDIA SOSIAL MEMPERSENDAKAN AGAMA

Bil. 14/2025



bismillah 2
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih


1. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ingin menegaskan bahawa setiap agama perlu dihormati dan tidak boleh dijadikan bahan ejekan atau persendaan dalam apa jua bentuk, sama ada secara lisan, tulisan, perbuatan, mahupun di platform media sosial.

2. Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, Malaysia MADANI menekankan nilai hormat-menghormati, toleransi, serta kesejahteraan bersama. Sikap memperlekeh atau mempersendakan amalan keagamaan pihak lain bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, malah boleh mencetuskan ketegangan dan merosakkan keharmonian masyarakat.

3. Sehubungan dengan itu, JAKIM mengingatkan semua pihak agar menjaga sensitiviti keagamaan dalam setiap tindakan dan pertuturan, mengelakkan daripada membuat sebarang kenyataan atau perlakuan yang boleh menyinggung kepercayaan agama lain serta menghormati kebebasan beragama sebagaimana yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

4. Islam sebagai sebuah agama yang menyuburkan kesejahteraan dan keharmonian telah mengajar kita melalui firman Allah dalam Surah Al-An’am, ayat 108 yang bermaksud :

"Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan".

5. JAKIM menyeru agar semua pihak sentiasa mengamalkan sikap saling memahami dan bertoleransi. Prinsip Islam sebagai rahmat untuk semua harus dijadikan panduan bagi memastikan keamanan dan perpaduan terus terpelihara di negara ini.


Sekian, terima kasih.


DATO’ DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
4 Mac 2025 / 3 Ramadan 1446H