
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
BERKENAAN
PELAKSANAAN SOLAT HAJAT DI TIGA (3) MASJID UTAMA JAKIM BAGI MENDOAKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT DI PALESTIN
Bil. 17/2025

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
1. Susulan tragedi berdarah kembali di bumi Palestin yang mengorbankan 404 nyawa yang tidak berdosa termasuk wanita dan kanak-kanak, 562 lagi cedera dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengutuk sekeras-kerasnya pengkhianatan perjanjian gencatan senjata terhadap rakyat Palestin, yang terus menerus menyerang dan mengorbankan nyawa.
2. Sehubungan dengan itu, sebagai tanda solidariti dan doa buat saudara-saudara kitadi Palestin, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan melaksanakan Solat Hajat di tiga (3) buah masjid utama JAKIM iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada setiap malam selepas solat fardu Isyak bermula 19 Mac 2025 hingga akhir Ramadan.
3. Marilah bersama-sama bermunajat kepada Allah SWT, tambahan pula keberadaan kita di bulan Ramadan yang mulia ini, agar diberikan keselamatan dan kemenangan kepada rakyat Palestin yang terus dizalimi dan ditindas tanpa belas kasihan. Semoga di bulan yang penuh rahmat ini, Allah SWT mengabulkan doa kita untuk mereka yang sedang berjuang di jalan-Nya.
4. JAKIM menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk terus-menerus memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT dengan penuh pengharapan semoga Allah SWT sentiasa merahmati seluruh umat Islam di dunia khususnya di negara Palestin.
Sekian, terima kasih.
DATO’ DR. SIRAJUDDIN BIN SUHAIMEE
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
19 Mac 2025 Masihi / 18 Ramadan 1446 Hijrah